Skip to main content

Dunia

8 maut selepas jeti roboh di Maluku, Indonesia

Sebuah jeti yang diperbuat daripada konkrit dan kayu di wilayah Maluku runtuh pada petang Rabu (30 Okt) semasa kempen pilihan raya tempatan, mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan 11 yang lain.

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Sebuah jeti yang diperbuat daripada konkrit dan kayu di wilayah Maluku runtuh pada petang Rabu (30 Okt) semasa kempen pilihan raya tempatan, mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan 11 yang lain.

Kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang waktu tempatan di Hatta, Kepulauan Banda, ketika rombongan yang diketuai oleh seorang daripada calon pegawai daerah Andi Munaswir sedang dalam perjalanan untuk berkempen bagi pilihan raya tempatan yang bakal diadakan.

Menurut Polis Maluku Tengah, Andi Munaswir dan pasukannya baru sahaja turun daripada bot laju dan sedang berjalan di atas jeti untuk bertemu penduduk tempatan apabila sebahagian struktur itu tiba-tiba runtuh.

“Tidak lama kemudian, jeti itu runtuh,” kata jurucakap Inspektor Antony Kolauw dalam satu kenyataan pada Khamis (30 Okt).

Rombongan berkenaan telah disambut dengan tarian tradisional oleh masyarakat setempat sebelum kejadian itu.

Ketika jeti runtuh, Andi Munaswir, rombongan pengiringnya, dan para penyokong terjatuh ke dalam laut dengan beliau mengalami kecederaan ringan manakala beberapa yang lain terperangkap di bawah runtuhan.

Pihak berkuasa mengesyaki runtuhan itu mungkin berpunca daripada bebanan berlebihan.

Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

Indonesia dijadual mengadakan pilihan raya serentak bagi ketua wilayah pada 27 November, termasuk pemilihan gabenor, pegawai daerah dan datuk bandar.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita