8 maut berasak-asak di festival muzik Texas
Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan puluhan lagi cedera dalam rempuhan di festival muzik Astroworld di wilayah Texas selatan Amerika Syarikat pada Jumaat malam (5 Nov), kata pihak berkuasa.

Festival Astroworld diasaskan oleh Travis Scott (Gambar fail: AFP)
LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan puluhan lagi cedera dalam rempuhan di festival muzik Astroworld di wilayah Texas selatan Amerika Syarikat pada Jumaat malam (5 Nov), kata pihak berkuasa.
Ketua bomba Houston, Samuel Pena berkata kejadian itu bermula sekitar 9.00 malam apabila "orang ramai mula berhimpit-himpit ke kawasan depan pentas".
"Keadaan itu menyebabkan panik dan beberapa orang cedera, rebah serta pengsan dan suasana semakin kecoh," kata Encik Pena dalam sidang media di luar Taman NRG.
"Sekurang-kurangnya lapan orang disahkan mati dan puluhan lagi cedera," katanya sambil menambah punca kematian tidak dapat disahkan sehingga pemeriksaan perubatan selesai.
"Kami menghantar 17 pesakit ke hospital... 11 daripada mereka mengalami serangan jantung," katanya.
Festival Astroworld anjuran penyanyi rap Amerika Travis Scott itu dihadiri sekitar 50,000 penonton, tambah Encik Pena.
Scott berada di atas pentas ketika insiden itu berlaku dan menghentikan persembahannya beberapa kali selepas melihat peminat mengalami kecederaan ketika berada dekat dengan pentas, lapor media tempatan, Houston Chronicle.
Polis Houston menyatakan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian dan meneliti rakaman video dari arena.
Pihak berkuasa kemudian mengumumkan festival itu dibatalkan.
Rakaman dari taman NRG yang tersebar di media sosial menunjukkan ramai orang merempuh masuk pintu pagar dengan anggota keselamatan tidak dapat menahan banjiran tersebut.
Beberapa orang kelihatan tersandung, menumbangkan gerbang pengesan logam di pintu masuk arena tetapi tidak jelas sama ada kejadian itu dikaitkan dengan kematian.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menyatakan lebih 300 orang cedera sepanjang hari pada acara itu, termasuk mereka yang mengalami kesan calar dan lebam-lebam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.