Skip to main content

Dunia

8 maut, 44 cedera dekat Gunung Bromo selepas bas persiaran terbabas

Lapan orang maut dan 44 lagi cedera apabila sebuah bas persiaran yang membawa kakitangan hospital dan ahli keluarga mereka terlibat dalam kemalangan berdekatan Gunung Bromo di Jawa Timur pada Ahad (14 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
8 maut, 44 cedera dekat Gunung Bromo selepas bas persiaran terbabas

Petikan skrin daripada video yang tular, menunjukkan bas persiaran yang terbabas berhampiran Gunung Bromo di Jawa Timur pada 14 September 2025. (Gambar: TikTok/@Widya8698)

JAWA TIMUR: Lapan orang maut dan 44 lagi cedera apabila sebuah bas persiaran yang membawa kakitangan hospital dan ahli keluarga mereka terlibat dalam kemalangan berdekatan Gunung Bromo di Jawa Timur pada Ahad (14 Sep).

Menurut Jakarta Globe, kesemua 52 penumpang itu terdiri daripada para kakitangan Hospital Bina Sehat di daerah Jember, Jawa Timur, dan ahli keluarga mereka.

Mereka sedang dalam perjalanan pulang selepas melakukan lawatan riadah ke Gunung Bromo, iaitu gunung berapi aktif yang popular dalam kalangan pelancong kerana pemandangannya yang menakjubkan.

Tujuh daripada lapan mangsa yang terkorban sudah dikenal pasti.

Mereka berusia antara tujuh hingga 39 tahun, dan tiga daripadanya merupakan ahli keluarga yang sama.

Kemalangan itu, yang berlaku di daerah Probolinggo, kini dalam siasatan polis.

Menurut pihak polis, pemandu bas yang dikenal pasti sebagai Albahri, 59 tahun, terselamat dan memberitahu penyiasat bahawa brek kenderaan tersebut gagal berfungsi.

“Saya menekan brek tetapi ia tidak berfungsi. Dalam keadaan cemas, saya membelokkan bas ke penghadang jalan untuk mengelakkannya daripada terjunam ke dalam gaung,” kata beliau dalam keterangannya kepada polis, menurut laporan Jakarta Globe.

Menurut agensi berita Antara, bas tersebut melanggar penghadang jalan dan bertembung dengan sebuah motosikal.

Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mengesahkan sama ada kegagalan brek atau masalah mekanikal lain menjadi punca nahas tersebut.

Ketua Subdirektorat Penguatkuasaan Undang-Undang Polis Wilayah Jawa Timur, Septa Firmansyah, berkata sebuah pasukan akan menjalankan Analisis Kemalangan Trafik bagi menentukan punca kemalangan.

“Dengan Analisis Kemalangan Trafik, kami dapat menjejak kelajuan bas dan detik-detik terakhir sebelum ia berhenti,” kata Encik Septa.

“Kemalangan itu tidak melibatkan banyak kenderaan, jadi keputusan siasatan tempat kejadian akan siap dalam masa tiga hari.

"Sepanjang siasatan, aliran trafik di lokasi akan ditutup sepenuhnya,” tambah beliau, seperti dipetik Antara.

Mangsa yang cedera dirawat di beberapa hospital di Jawa Timur, menurut laporan media tempatan.

Kompas melaporkan daripada 44 mangsa yang terselamat, 17 mengalami kecederaan sederhana hingga parah manakala yang lain cedera ringan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita