Skip to main content

Dunia

8 individu ditahan terbabit penjualan sijil vaksinasi digital di Johor

Polis menahan lapan individu termasuk tiga pekerja sebuah klinik swasta bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti penjualan sijil vaksinasi digital COVID-19 secara tidak sah dan tanpa mendapatkan suntikan pada Isnin (17 Jan) hingga semalam (18 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Polis menahan lapan individu termasuk tiga pekerja sebuah klinik swasta bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti penjualan sijil vaksinasi digital COVID-19 secara tidak sah dan tanpa mendapatkan suntikan pada Isnin (17 Jan) hingga semalam (18 Jan).

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata enam wanita dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 24 hingga 42 tahun termasuk lima pembeli itu ditahan secara berasingan selepas polis menerima aduan mengenai kegiatan tersebut daripada pemilik klinik berkenaan pada pukul 10.53 malam pada Ahad lalu (16 Jan).

Beliau berkata pihaknya kini sedang memburu 30 individu yang membeli sijil tanpa suntikan vaksin temasuk seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai menjadi dalang. 

"Kegiatan penjualan sijil vaksinasi digital COVID-19 tidak sah itu dipercayai telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin atau antivaksin.

"Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil itu perlu membayar antara RM300 (S$96) hingga RM650 (S$208) manakala orang tengah yang bertindak mencari pelanggan pula akan menerima bayaran komisen RM125 (S$40) bagi setiap sijil digital yang diperolehi," katanya pada sidang media hari ini.

Kamarul Zaman berkata dua pekerja klinik terbabit direman selama empat hari hingga Jumaat ini manakala pihaknya akan memohon reman ke atas seorang lagi pekerja hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan/Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan siasatan juga menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru individu yang membeli sijil vaksinasi digital tanpa suntikan supaya tampil dan menyerah diri di balai polis berhampiran.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita