8 didakwa di Myanmar 'biaya pemberontak Rakhine'
Lapan orang yang dituduh membantu membiaya pemberontak etnik Rakhine, termasuk beberapa orang yang dihantar pulang dari Singapura, secara rasminya didakwa di bawah undang-undang antipengganasan di mahkamah Myanmar pada Jumaat (9 Ogos).
Seorang pegawai polis Myanmar (Gambar: AFP)
YANGON: Lapan orang yang dituduh membantu membiaya pemberontak etnik Rakhine, termasuk beberapa orang yang dihantar pulang dari Singapura, secara rasminya didakwa di bawah undang-undang antipengganasan di mahkamah Myanmar pada Jumaat (9 Ogos).
Tentera Myanmar terlibat dalam pertempuran dengan Tentera Arakan (AA) sejak beberapa bulan lalu di wilayah Rakhine utara yang bergolak.
AA mendakwa berjuang bagi kebebasan etnik penganut Buddha Rakhine.
Suspek-suspek yang dibicarakan di mahkamah termasuk Aung Myat Kyaw, dipercayai saudara kepada ketua AA Tun Myat Naing dan merupakan seorang daripada enam yang dihantar pulang dari Singapura pada Julai.
Mereka didakwa di bawah undang-undang antipengganasan kerana menyumbang sokongan dana kepada kumpulan yang diharamkan itu.
"Lapan orang sudah didakwa," peguam bela Kyaw Myo Htun mengesahkan.
Perbicaraan pada Jumaat di Yangon adalah kali pertama beliau dan ahli keluarga diberi akses menemui suspek.
Jika sabit kesalahan, para suspek boleh dipenjara.
Peguam itu menambah, seorang lagi suspek sedang disiasat dan dua lagi diburu.
Aung Myat Kyaw memberitahu para wartawan mereka "tidak menyesal" dan mendakwa hanya membantu golongan yang terjejas akibat pertempuran.
"Pihak pemerintah tidak mengambil berat terhadap IDP yang terjejas konflik Rakhine dan ini sebabnya kami lakukan sedaya upaya untuk membantu," katanya.
AA tidak dapat dihubungi untuk memberi komen berhubung kes tersebut.
Ramai yang terkorban, termasuk orang awam, dan puluhan ribu terpaksa dipindahkan dari rumah masing-masing akibat pertempuran yang berlaku.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.