8 diberkas setelah polis M'sia kesan usaha bangunkan sekolah ajaran pelampau
Polis Malaysia menyatakan pada Sabtu (6 Okt) bahawa unit antipengganasan negara itu memberkas lapan lelaki, tujuh daripada mereka warga asing.
KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menyatakan pada Sabtu (6 Okt) bahawa unit antipengganasan negara itu memberkas lapan lelaki, tujuh daripada mereka warga asing, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang boleh "memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan persekutuan".
Suspek-suspek tersebut, yang diberkas dalam satu operasi di Johor, Perlis dan Kuala Lumpur, merupakan pelajar, bekas pelajar atau sebahagian daripada tenaga pengajar di sebuah sekolah agama di Perlis.
Mereka ditahan selepas polis menerima maklumat tentang penyebaran fahaman ideologi Salafi Jihadi menerusi sebuah pusat pengajian Islam di Asia Tenggara.
Menurut kenyataan itu, suspek-suspek berkenaan mempunyai kaitan dengan sebuah madrasah di Yaman yang ditubuhkan oleh Syeikh Muqbil Hadi Al Wadi'I, seorang pelampau ideologi Salafi Jihadi.
Sekolah tersebut berpegang teguh kepada fahaman yang membenarkan pembunuhan orang bukan Islam dan mereka yang murtad. Suspek-suspek itu turut memegang fahaman ekstrim bahawa pendidikan sekular adalah haram, dan lelaki serta wanita diharamkan memakai seluar.
Menurut polis, tangkapan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk membendung penyebaran ideologi Salafi-Jihadi, yang digambarkan sebagai "pencetus" kumpulan-kumpulan pengganas seperti ISIS, Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah, Abu Sayyaf, Boko Haram dan lain-lain lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.