8 cedera susuli gempa di Istanbul
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memberitahu satu sidang media di Istanbul bahawa lapan orang "cedera ringan" setelah gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter menggegarkan bandar terbesar Turki itu pada Khamis (26 Sep).
Para pekerja berhimpun di luar bangunan pejabat mereka di Daerah Maslak, Istanbul, pada 26 Sep 2019. (Gambar: Ozan KOSE/AFP)
ISTANBUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memberitahu satu sidang media di Istanbul bahawa lapan orang "cedera ringan" setelah gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter menggegarkan bandar terbesar Turki itu pada Khamis (26 Sep).
Bencana itu membuatkan penduduk berpindah keluar dari bangunan-bangunan. Demikian disaksikan para wartawan AFP.
"Beberapa bangunan rosak sedikit," kata Presiden Erdogan.
Institut Kajian Gempa Bumi dan Balai Pencerapan Universiti Bogazici Instanbul menyatakan pusat gempa berlaku di kota Silivri, sekitar 80 kilometer dari kawasan barat bandar raya itu.
Ia menambah gempa berukuran 5.7 pada skala Richter itu melanda Instanbul pada 1.59 malam (1059 GMT). Beberapa gegaran susulan kecil juga dicatatkan.
Pihak penyiaran Turki menunjukkan gambar sebuah menara yang terbelah dua.
Sekolah-sekolah di Istanbul dan wilayah-wilayah Bursa serta Yalova ditutup untuk sehari, menurut laporan NTV.
Istanbul terletak di garis sesar utama dan para pakar sudahpun meramalkan bahawa beberapa gempa buruk bakal berlaku dalam tahun-tahun mendatang.
Pada 17 Ogos 1999, satu gempa bumi besar berukuran 7.4 pada skala Richter yang berpusat di bandar Izmit memusnahkan kawasan luas di zon barat laut negara itu yang padat penduduknya, terutama di sekitar Istanbul.
Sekurang-kurangnya 174,000 orang terbunuh termasuk 1,000 mangsa yang berada di ibu kota ekonomi Turki itu.
Gempa kuat boleh memusnahkan bandar dengan 15 juta penduduk itu yang meluluskan pembinaan banyak bangunan tanpa langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.