Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

8 cedera dalam serangan tukul di universiti Tokyo: Laporan

Anggaran Waktu Membaca:
8 cedera dalam serangan tukul di universiti Tokyo: Laporan

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 10 Jan 2025 04:49PM Dikemas Kini : 10 Jan 2025 04:57PM
TOKYO: Sekurang-kurangnya lapan orang cedera dalam serangan tukul di sebuah universiti di Tokyo pada Jumaat (10 Jan), dengan suspek sudahpun ditahan, lapor media Jepun.

Semua mangsa yang cedera berada dalam keadaan sedar, menurut penyiar negara NHK, yang memetik sumber polis.

Sumber tersebut berkata bahawa serangan itu berlaku pada sebelah petang di Kampus Tama Universiti Hosei.

Jiji Press melaporkan bahawa seorang wanita dalam lingkungan 20-an tahun sudahpun ditahan.

Penyiar FNN menyatakan bahawa penyerang itu kelihatan seperti seorang penuntut berusia 20-an tahun, yang dihentikan oleh kakitangan universiti.

Polis tidak dapat mengesahkan butiran lanjut kepada AFP mengenai kejadian jenayah ganas yang jarang-jarang berlaku di Jepun, yang dikenali sebagai negara dengan undang-undang kawalan senjata yang ketat.

Rakaman langsung di NHK menunjukkan deretan kenderaan kecemasan di kampus yang terletak di daerah Machida, pinggir bandar ibu kota Jepun.

Kes tikaman dan tembakan sekali-sekala berlaku di Jepun.

Ini termasuk pembunuhan mantan perdana menteri Shinzo Abe pada 2022.

Pada Disember lalu, seorang pelajar sekolah menengah dibunuh manakala seorang lagi cedera di sebuah restoran McDonald's di barat daya Jepun.

Seorang lelaki kemudian ditahan menyusuli serangan itu.

Pada 2019, dua orang, termasuk seorang pelajar perempuan, dibunuh dan lebih 10 cedera di bandar Kawasaki, Jepun, dalam satu serangan yang menyasarkan kanak-kanak yang sedang menunggu bas.

Penyerang berusia 51 tahun itu menyerang sekumpulan kanak-kanak sebelum menikam dirinya sendiri di leher sehingga maut.
Sumber : AFP/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan