Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

8 bot pelancong sarat penumpang diarah patah balik di Kuala Terengganu

Lapan bot pelancong di Kuala Terengganu diarah berpatah balik oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu kerana didapati membawa penumpang melebihi muatan yang dibenarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
8 bot pelancong sarat penumpang diarah patah balik di Kuala Terengganu

Gambar hiasan. (Gambar: Filip Bunkens/Unsplash)

Diterbitkan : 09 Sep 2022 05:00PM Dikemas Kini : 10 Sep 2022 12:39PM
KUALA TERENGGANU: Lapan bot pelancong di Kuala Terengganu diarah berpatah balik oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu kerana didapati membawa penumpang melebihi muatan yang dibenarkan.

Pengarah APMM Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesalahan tersebut dikesan hasil 95 pemeriksaan menerusi Operasi Anai-Anai Laut di perairan Besut, perairan Merang di Setiu dan pulau-pulau sekitar selama lima hari bermula Ahad (4 Sep).

“Selain diarahkan berpatah balik ke pangkalan dan menurunkan penumpang mengikut jumlah yang dibenarkan, pengusaha bot terbabit turut diberikan amaran keras,” katanya dalam kenyataan hari ini (9 Sep).

Menurut beliau lagi, kebanyakan pengusaha bot yang menawarkan pakej harian dari Kuala Besut di Besut serta Pantai Penarik dan Merang di Setiu itu sudahpun mengambil kesempatan pada cuti persekolahan ini memandangkan ia menerima permintaan tinggi, sehingga sanggup mengabaikan aspek keselamatan penumpang.

“Sikap ingin mengaut keuntungan sehingga sanggup membawa muatan penumpang yang berlebihan boleh menyebabkan insiden,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Muhammad Suffi berkata Operasi Anai-anai Laut dilancarkan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan serta penguatkuasaan terutamanya di kawasan pelancongan seperti pantai dan pulau peranginan di sekitar Terengganu. 

Operasi tersebut, kata beliau, akan dilaksanakan setiap tahun bermula tahun ini berikutan cabaran dan insiden yang menunjukkan pertambahan.

“Umumnya kejadian Carilamat (operasi Mencari dan Menyelamat) menunjukkan peningkatan di Terengganu dengan 17 kes dari awal tahun 2022 sehingga kini, berbanding 10 kes pada tahun lepas (dalam tempoh yang sama) di Perairan Terengganu. Amat membimbangkan jumlah kehilangan nyawa dan harta benda turut mencatatkan peningkatan angka,” katanya.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan