Skip to main content

Dunia

8 anggota 'Geng Alif Proton' diberkas

Lapan anggota kumpulan ‘Geng Alif Proton’ yang disyaki aktif mencuri kereta dan motosikal di kawasan wilayah Iskandar Malaysia sejak 2016 berjaya diberkas dalam lapan serbuan berasingan di Johor Bahru dan Mersing bermula 28 September hingga 6 Oktober lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
8 anggota 'Geng Alif Proton' diberkas

Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 08 Oct 2018 07:13PM Dikemas Kini : 08 Oct 2018 07:15PM

JOHOR BAHRU: Lapan anggota kumpulan ‘Geng Alif Proton’ yang disyaki aktif mencuri kereta dan motosikal di kawasan wilayah Iskandar Malaysia sejak 2016 berjaya diberkas dalam lapan serbuan berasingan di Johor Bahru dan Mersing bermula 28 September hingga 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata mereka yang ditahan berusia antara 27 hingga 32 tahun. Kesemuanya merupakan lelaki tempatan.

Enam daripadanya ditahan ketika serbuan dilancarkan di kawasan Johor Bahru Utara dan dua orang lagi di Tenggaroh, Mersing.

ACP Mohd Taib berkata hasil serbuan, pihaknya turut merampas lapan kereta, dua motosikal, satu rangka motosikal, tiga enjin motosikal dan peralatan mencuri kenderaan.

“Modus operandi mereka ialah menyasarkan kereta-kereta jenis Proton kerana ada dalam kalangan mereka bekerja sebagai mekanik dan mempunyai kemahiran untuk membuka kenderaan tersebut.

Selepas mencurinya (kenderaan), mereka akan mengambil alat-alat ganti kenderaan untuk dijual di sebuah bengkel haram di Tenggaroh selain akan menukar nombor casis dan enjin kenderaan,” dedah ACP Mohd Taib.

Dengan tertangkapnya kelapan-lapan anggota geng itu, pihaknya menyelesaikan siasatan sebanyak 25 kes curi kereta yang dilaporkan di wilayah itu sebelum ini.

“Namun begitu, kita masih menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat lagi saki baki anggota kumpulan kerana daripada siasatan awal, kita mendapati kumpulan ini turut terlibat dalam kes curi sarang burung walit di Johor,” katanya.

KAWASAN SERING BERLAKU KENDERAAN DICURI

Dalam kes berlainan, ACP Mohd Taib berkata pihaknya mengenal pasti tujuh kawasan ‘panas’ di Johor Bahru Utara yang seringkali berlaku kehilangan kenderaan.

“Antaranya ialah Tampoi, Taman Perling, Taman Ungku Tun Aminah, Taman Jaya, Skudai Kiri dan Sri Skudai. Ia disasarkan kerana ramai pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura meletakkan kereta dan motosikal di situ sehingga malam, sekaligus memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan tertentu melakukan kegiatan jenayah mereka.

"Tahun ini sahaja (setakat bulan lalu), sebanyak 193 kes curi kenderaan dilaporkan di kawasan ini dengan 50 daripadanya melibatkan kereta,” kata beliau.

Lantaran itu, ia dilihat sebagai sesuatu yang serius dan meminta agar orang ramai meletakkan kenderaan mereka di tempat bersesuaian supaya tidak menjadi sasaran, katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita