8 ADUN BN, 2 PH angkat sumpah jawatan Exco Pahang

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah (dua, kanan) berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan pada 2 Dis. Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kanan) merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang turut menghadiri majlis tersebut. (Gambar: Bernama)
PEKAN: Anak kepada mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Mohamad Nizar Mohd Najib, antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Abu Bakar pada Jumaat (2 Dis).
Encik Mohamad Nizar, yang juga ADUN Peramu Jaya, adalah antara lapan ADUN UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) yang dilantik sebagai Exco manakala wakil Pakatan Harapan (PH) dilantik masing-masing seorang daripada PKR dan DAP.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Encik Mohamad Nizar juga adalah empat muka baru diketengahkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilantik sebagai Exco, selain ADUN Dong Fadzli Mohamad Kamal, Johari Harun (Pelangai) dan Sabariah Saidan (Guai).
Turut dilantik menganggotai Exco ialah Razali Kassim (Muadzam Shah) manakala tiga lagi pernah menganggotai barisan Exco pada penggal lalu iaitu Mohd Soffi Abdul Razak (Benta), Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar).
ADUN PKR yang dilantik pula ialah Sim Chon Siang (Teruntum) manakala Leong Yu Man (Triang) mewakili DAP.
BN dan PH bersetuju membentuk kerajaan negeri Pahang selepas keputusan PRU15 menyaksikan, buat pertama kali dalam sejarah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Di PRU15, BN memperoleh 16 kerusi, ketinggalan satu daripada Perikatan Nasional (PN) manakala PH mendapat lapan kerusi DUN.
DUN Pahang terdiri daripada 42 kerusi, namun proses pengundian bagi DUN Tioman telah ditangguhkan kepada 7 Disember nanti berikutan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61 tahun, pada 3.30 pagi, hari pengundian pada 19 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung.
Bagaimanapun, apa-apa jua keputusan DUN Tioman masih tidak membolehkan mana-mana blok politik memperoleh majoriti mudah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.