Skip to main content

Dunia

750 juta orang berdepan ketidakjaminan makanan global

Anggaran Waktu Membaca:
750 juta orang berdepan ketidakjaminan makanan global
Beberapa wilayah di Afrika berdepan gelombang kemarau dan banjir, yang membawa kepada kesan darurat. (Gambar: Reuters)
Diterbitkan : 06 Feb 2026 07:19AM Dikemas Kini : 06 Feb 2026 07:20AM
DUBAI: Tabung Antarabangsa bagi Pembangunan Pertanian (IFAD) memaklumkan bahawa dunia menyaksikan kemerosotan dalam penunjuk keselamatan makanan tahun lalu, dengan seorang daripada setiap 10 penduduk dunia mengalami ketidakjaminan makanan, iaitu hampir 750 juta orang, sambil menambah bahawa kelaparan kekal sebagai cabaran global utama.

Presidennya, Alvaro Lario, berkata beberapa wilayah di Afrika sedang mengalami peningkatan gelombang kemarau dan banjir, yang membawa kepada kesan serius terhadap petani kecil serta kehilangan sumber pendapatan mereka, lapor Agensi Berita Amiriah (WAM).

Beliau berkata kejutan iklim secara langsung menyumbang kepada kemerosotan keadaan kelaparan dan ketidakjaminan makanan, sambil menambah bahawa peningkatan konflik global berkait rapat dengan kelaparan, dengan kedua-duanya saling mempengaruhi.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun beberapa wilayah di dunia seperti Amerika Selatan dan Asia menunjukkan penambahbaikan relatif, Afrika kekal sebagai benua yang paling terjejas.

Beliau berkata kemajuan dalam usaha pengurangan kemiskinan dan peningkatan keselamatan makanan masih perlahan di banyak wilayah.

Encik Lario menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Tabung Pembangunan Abu Dhabi dalam bidang pembiayaan pembangunan, sambil menekankan kerjasama sedia ada dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dalam bidang berkaitan teknologi, termasuk penggunaan model kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian bagi pertukaran amalan terbaik dan memperkukuh pemindahan pengetahuan.

Beliau memuji peranan utama UAE dalam bidang teknologi dan menyatakan harapan agar negara itu menjadi hab global bagi keselamatan makanan melalui perkongsian strategik dan pembiayaan bersama dengan kerajaan serta institusi antarabangsa.
Sumber : Agensi berita/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita