700 tentera laut Amerika dikerah ke Los Angeles susuli bantahan operasi imigresen
Tentera Amerika Syarikat akan mengerahkan buat sementara waktu sekitar 700 tentera laut ke Los Angeles, sementara menantikan ketibaan lebih ramai Pasukan Pengawal Negara.

Anggota Pengawal Negara California berkawal semasa tunjuk perasaan terhadap operasi imigresen persekutuan diadakan di luar bangunan persekutuan Edward R. Roybal, di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, pada 8 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Mike Blake)
Langkah itu menandakan satu lagi pengukuhan respons Presiden Amerika Donald Trump kepada bantahan yang tercetus akibat dasar imigresennya yang dianggap agresif.
Markas Utara Amerika Syarikat menyatakan ia akan mengerahkan sebuah batalion bagi membantu melindungi harta persekutuan dan kakitangan sementara menunggu ketibaan lebih ramai anggota Pasukan Pengawal Negara.
Buat masa ini, pentadbiran Trump tidak menguatkuasakan Akta Pemberontakan, yang membenarkan askar-askar digunakan sebagai pasukan polis domestik, menurut seorang pegawai Amerika yang bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan.
Ketegangan meningkat sejak Encik Trump mengerahkan Pengawal Negara pada Sabtu (7 Jun) - satu tindakan yang Democrat sifatkan sebagai satu tindakan provokasi yang tidak wajar - selepas tercetusnya bantahan di jalanan sebagai tindak balas kepada serbuan imigresen di California Selatan.
Ia adalah titik perbalahan paling besar setakat ini dalam usaha agresif oleh pentadbiran Encik Trump untuk mengusir pendatang yang menetap secara haram di negara itu.
Pada Isnin, Encik Trump berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain selain mengarahkan pengerahan Pasukan Pengawal bagi mengelak keganasan daripada menjadi tidak terkawal.
Beliau turut menyokong cadangan ketua sempadannya supaya Gabenor California Gavin Newsom diberkas, selepas Democrat berkata California memfaillkan saman bagi menyekat pengerahan Pengawal Negara.
Ratusan penunjuk perasaan berkumpul di luar pusat tahanan di pusat bandar pada Isnin yang menempatkan pendatang serta di lokasi-lokasi lain.
Di tengah-tengah kawalan ketat pihak berkuasa, para penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam pentadbiran Encik Trump, diiringi kumpulan muzik yang memainkan lagu Mexico.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.