Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

70 rumah di Melaka rosak akibat ribut susuli hujan lebat

Anggaran Waktu Membaca:

MELAKA: Kira-kira 70 buah rumah membabitkan dua daerah di Alor Gajah dan Melaka Tengah terjejas akibat ribut menyusuli hujan lebat yang melanda negeri itu lewat petang Isnin (21 Feb). 

Antara kawasan-kawasan yang terjejas teruk masing-masing melibatkan kira-kira 30 buah rumah di Kampung Belimbing Dalam serta 44 buah rumah di kawasan sekitar Krubong, Melaka Tengah, lapor Astro AWANI. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di balai raya Kampung Belimbing Dalam yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga buah keluarga selepas kediaman mereka rosak teruk selain terputus bekalan elektrik.

Seorang mangsa Rahmat Alus yang berusia 51 tahun berkata ketika kejadian beliau bersama ibu yang berusia 81 tahun serta adik dan dua anak saudaranya sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum secara tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya ketika itu sebab tak pernah kena macam ini sepanjang lebih 30 tahun tinggal di Kampung Belimbing Dalam ini.

“Apabila bumbung rumah saya ini diterbangkan ribut dan air hujan menderu masuk ke dalam rumah, saya hanya terfikir melaungkan azan dan ahli keluarga yang lain berpelukkan selamatkan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui Astro AWANI. 

Sementara itu, warga emas Yaakop Kasim, 61 tahun, yang menceritakan detik ngeri itu berkata, ketika kejadian beliau berada di luar sebelum dihubungi anak lelakinya berhubung kejadian yang menimpa rumahnya.

Katanya, beliau terkejut melihat struktur rumahnya yang teruk selepas hampir separuh zink diterbangkan angin dan merosakkan barangan keperluan di dalam rumah.

“Memang terkejut sebab kita tak sangka dengan kejadian ini dan kalau tengok keadaan bumbung dan siling ini teruk  terjejas yang mana kerugian yang kami alami dianggarkan mencecah hampir RM10,000 (S$3,210).

“Sejak anak saya kecil yang mana hampir 30 tahun saya menetap di sini, dan ini merupakan kejadian yang pertama. Tetapi saya tetap bersyukur isteri, anak dan cucu saya selamat serta tiada kemalangan jiwa,” katanya kepada Astro AWANI. 

Tinjauan Astro AWANI di kawasan sekitar mendapati beberapa laluan utama turut terjejas menyusuli insiden pokok tumbang selain sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam turut mengalami kerosakan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan