Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

7 terkorban, 6 hilang di Korea Selatan susuli hujan paling lebat dalam 80 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
7 terkorban, 6 hilang di Korea Selatan susuli hujan paling lebat dalam 80 tahun

(Gambar: @i_melody_you/Twitter; @cafetero7878/Twitter)

SEOUL: Seoul dan kawasan-kawasan sekitarnya dilanda hujan paling lebat dalam 80 tahun, meragut tujuh nyawa dan lagi enam hilang, selain menenggelamkan rumah, kenderaan, bangunan dan stesen keretapi, kata para pegawai pada Selasa (9 Ogos). 

Beberapa kawasan di Seoul, bandar pelabuhan Incheon dan Wilayah Gyeonggi di sekitar Seoul dibadai hujan lebat, lebih 100 milimeter sejam pada Isnin malam (8 Ogos), dengan kadar curahan hujan di daerah Dongjak di Seoul menjangkaui 141.5 milimeter, iaitu kadar tertinggi sejak 1942.

Hujan lebat itu meragut lima nyawa dan lagi empat hilang di Seoul, manakala di Wilayah Gyeonggi, dua terkorban dan dua lagi hilang setakat pukul 6.00 pagi, menurut pemerintah.

Sembilan orang cedera di Wilayah Gyeonggi dan 163 orang daripada 107 keluarga di Seoul kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berteduh di sekolah dan kemudahan awam lain, lapor agensi berita Yonhap. 

Di daerah Gwanak di Seoul, tiga orang - dua orang dewasa berusia 46 tahun dan seorang remaja, 13 tahun - dilaporkan terperangkap di besmen sebuah bangunan pada pukul 9.07 malam Isnin (8 Ogos), namun kemudian meninggal dunia. 

Di Dongjak, seorang pekerja berusia 60an tahun meninggal dunia disebabkan apa yang dipercayai sebagai renjatan elektrik pada pukul 6.50 petang semasa kerja-kerja pembersihan dijalankan setelah sebatang pokok di tepi jalan jatuh akibat hujan. 

Seorang lagi meninggal dunia pada pukul 5.40 petang apabila rumahnya ditenggelami air di daerah tersebut. 

Di bandar Gwangju, Wilayah Gyeonggi, seorang ditemui mati setelah terperangkap di bawah runtuhan sebuah stesen bas, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat tanah runtuh. 

Di daerah Seocho di Seoul, empat orang hilang, sebahagian di koridor kawasan beli-belah bawah tanah dan yang lain di dalam lurang, manakala tiada maklumat lanjut mengenai dua lagi mangsa yang dibawa arus anak sungai yang banjir di Gwangju. 

Banyak kemudahan awam tidak dapat beroperasi disebabkan hujan lebat itu, dengan lapan kes laluan kereta api yang mengalami banjir di Seoul, Incheon dan bandar-bandar lain, menyebabkan penggantungan sementara laluan keretapi, termasuk Laluan Keretapi Seoul 4 dan Laluan Gyeongin. 

Sekitar 80 bahagian jalan raya di negara itu, tiga laluan bawah tanah dan 26 tempat meletak kereta bersebelahan sungai dikepung disebabkan keprihatinan keselamatan, menurut Yonhap. 

Tempat masuk ke 134 laluan mendaki di empat taman pergunungan nasional, termasuk Gunung Bukhan, masih ditutup. Sebanyak 19 perjalanan feri penumpang juga tidak beroperasi setakat Selasa (9 Ogos). 

Ahli bomba turut menyelamatkan 88 orang daripada anak sungai yang banjir di Gyeonggi dan kawasan-kawasan lain, menurut pemerintah. 

Kementerian ehwal negara tersebut meningkatkan tahap pemantauan kerosakan banjir itu daripada "berjaga-jaga" kepada "serius" pada pukul 1.00 pagi Selasa (9 Ogos). 

Setakat pukul 6.00 pagi (9 Ogos), daerah pusat dan daerah-daerah lain di Korea Selatan dilanda hujan lebat sehingga 50 milimeter setiap sejam, dengan jumlah terkumpul paras air di Dongjak mencecah 417 milimeter antara Isnin (8 Ogos) sehingga 4.00 pagi Selasa (9 Ogos). 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan