Skip to main content

Dunia

7 suspek skandal rasuah diberkas, yang lain masih diburu: Presiden Filipina

Pihak berkuasa Filipina menahan tujuh suspek dan memburu beberapa orang lagi berhubung skandal rasuah besar-besaran melibatkan projek kawalan banjir, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr pada Isnin (24 Nov) semasa beliau berusaha untuk meredakan kemarahan orang ramai terhadap penyelewengan berani yang turut melibatkan tokoh-tokoh berpengaruh dalam Kongres.
Anggaran Waktu Membaca:
7 suspek skandal rasuah diberkas, yang lain masih diburu: Presiden Filipina
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berucap semasa pelancaran Metro Cebu Waterways Clearing di bandar Cebu, tengah Filipina pada 21 November 2025. (Gambar: AP/Pejabat Komunikasi Presiden Malacanang)
MANILA: Pihak berkuasa Filipina menahan tujuh suspek dan memburu beberapa orang lagi berhubung skandal rasuah besar-besaran melibatkan projek kawalan banjir, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr pada Isnin (24 Nov) semasa beliau berusaha untuk meredakan kemarahan orang ramai terhadap penyelewengan berani yang turut melibatkan tokoh-tokoh berpengaruh dalam Kongres.

Rasuah besar-besaran dipersalahkan atas projek kawalan banjir yang bermutu rendah atau tidak wujud di negara Asia Tenggara yang miskin itu, yang sejak sekian lama terdedah kepada banjir yang membawa maut dan cuaca ekstrem. Dua presiden Filipina, termasuk bapa Encik Marcos yang sudah meninggal dunia, pernah digulingkan melalui revolusi rakyat secara aman ekoran dakwaan penyelewengan dan pemerintahan yang pincang.

Kumpulan pertama yang terdiri daripada 12 orang suspek, termasuk Zaldy Co, mantan ahli Dewan Perwakilan, dan jurutera-jurutera jabatan kerja raya sudah didakwa oleh Sandiganbayan, mahkamah khas antirasuah, dalam kes pertama daripada puluhan kes rasuah dan pecah amanah yang dijangka difailkan. Encik Marcos berjanji bahawa senator, ahli Dewan Perwakilan dan pemilik syarikat pembinaan kaya yang terlibat akan dipenjarakan sebelum Krismas.

Kes rasuah pertama itu melibatkan penyelewengan dalam projek kawalan banjir di wilayah Oriental Mindoro, termasuk pembinaan benteng sungai bernilai 289 juta peso (S$6.27 juta) yang dijalankan oleh Sunwest, sebuah syarikat pembinaan yang menurut pegawai dimiliki oleh keluarga Co.

Encik Marcos berkata seorang suspek diberkas manakala enam lagi menyerah diri kepada polis pada hujung minggu. Suspek yang diberkas itu ditemui di sebuah rumah di bandar Quezon di ibu kota, di mana beberapa individu lain yang cuba membantunya untuk bersembunyi turut ditahan, kata beliau.

“Nasihat saya kepada suspek yang masih bebas ialah serah diri, jangan tunggu sehingga diburu,” kata Encik Marcos dalam satu catatan di Facebook pada awal pagi Isnin. “Ini akan berterusan, kita tidak akan berhenti.”

Setiausaha Dalam Negeri Jonvic Remulla berkata lokasi Co, yang dipercayai berada di luar Filipina, tidak diketahui, namun tiga suspek lain dijangka menyerah diri di kedutaan Filipina di Amerika Syarikat, New Zealand dan Jordan sebelum dihantar pulang.

“Di mana pun anda berada di dunia, kami akan mencari anda,” kata Encik Remulla pada sidang media, sambil menunjukkan gambar-gambar suspek yang ditahan, yang mengenakan baju tahanan berwarna jingga.

Para saksi sebelum ini memberi keterangan dalam sesi pendengaran Senat dan kepada sebuah suruhanjaya bebas yang ditubuhkan Encik Marcos, bahawa beberapa mantan dan penyandang senator serta ahli Dewan Perwakilan menerima sogokan besar daripada syarikat-syarikat pembinaan terpilih yang selama bertahun-tahun memperoleh kontrak kawalan banjir yang lumayan. Sebilangan pegawai dan jurutera Jabatan Kerja Raya turut memberi keterangan bersumpah di Senat bahawa mereka membantu dalam mengaturkan urus niaga rasuah itu dan menerima bayaran yang besar sebagai balasan.

Gaya hidup mewah, kediaman mewah, beg yang penuh dengan wang tunai serta barisan kereta mewah dan jet peribadi milik suspek-suspek utama mencetuskan bantahan besar-besaran. Satu tunjuk perasan dijadualkan pada 30 November dan ia mendapat sokongan gereja Roman Katolik yang dominan.

Antara yang terpalit ialah Anggota Parlimen Martin Romualdez, sepupu dan sekutu rapat presiden, yang menafikan sebarang pelibatan tetapi meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Perwakilan. Mantan Presiden Senat Chiz Escudero turut dituduh menerima sogokan dan sudah melepaskan jawatannya, namun menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Para pembantu Encik Marcos mempertahankan beliau daripada dakwaan yang mengaitkannya dengan penyelewengan itu, sambil mengatakan bahawa beliau sendiri yang mula membangkitkan kebimbangan mengenai perkara tersebut pada Julai, dalam ucapan tahunan negara di hadapan Kongres.

Sekurang-kurangnya 9,855 projek kawalan banjir bernilai lebih 545 bilion peso (S$12.1 bilion) yang sepatutnya dilaksanakan sejak Encik Marcos mengambil alih jawatan pada pertengahan 2022 kini sedang disiasat. Pada September, Setiausaha Kewangan Ralph Recto memberitahu para penggubal undang-undang bahawa sehingga 118.5 bilion peso (S$2.63 bilion) bagi projek kawalan banjir mungkin hilang akibat rasuah sejak 2023.

Penyelewengan itu mungkin bermula di bawah pentadbiran pendahulu Encik Marcos, Rodrigo Duterte, dan projek-projek kawalan banjir pada era tersebut juga akan disiasat, menurut para pegawai.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita