Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

7 produk kecantikan ini didapati kandungi racun berjadual

Kementerian Kesihatan Malaysia pada Selasa (6 Ogos) membatalkan notifikasi terhadap tujuh produk kecantikan yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Anggaran Waktu Membaca:
7 produk kecantikan ini didapati kandungi racun berjadual

Gambar hiasan CNA

Diterbitkan : 07 Aug 2019 09:08AM Dikemas Kini : 07 Aug 2019 09:18AM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia pada Selasa (6 Ogos) membatalkan notifikasi terhadap tujuh produk kecantikan yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, produk berkenaan adalah 3rd Series Yanko Fade Out Cream Day Cream; 5th series Yanko Fade Out Cream Day Cream; dan 7th Series Yanko Whitening Cream Day dari syarikat Lurveya Sdn Bhd.
Selain itu, produk terlibat adalah Fjura Face Polish Treatment dari syarikat Thefjura Marketing, Dnars Golden Cream (Rohban Trade Sdn Bhd); Glow Glowing N Glowing (Qalbu Ocean Enterprise); dan Apple Diamond Day Loose (Glowing Expert Apple Diamond).

Dr Noor Hisham berkata kesemua produk itu didapati mengandungi raksa yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

"Raksa boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Raksa juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Beliau berkata penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik berkenaan dengan serta-merta kerana produk tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 (S$8,240) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 (S$16,480) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya, katanya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 (S$16,480) untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 (S$32,960) untuk kesalahan berikutnya,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau menyarankan kepada orang ramai yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik tersebut agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan