Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

7 perkara penting tentang Pope Leo XIV

Anggaran Waktu Membaca:
7 perkara penting tentang Pope Leo XIV

Pope Leo XIV di balkoni St Peter's Basilica di Vatican City, Khamis, 8 Mei 2025. (Gambar: AP/Andrew Medichini)

Diterbitkan : 09 May 2025 05:05PM Dikemas Kini : 09 May 2025 06:41PM
VATICAN CITY: Gereja Katolik kini mempunyai pemimpin baharu – dan buat pertama kalinya, beliau seorang warga Amerika.

Satu konklaf (sidang tertutup) yang terdiri daripada kardinal dari 70 negara memilih Robert Francis Prevost, kini Pope Leo XIV, untuk menjadi pemimpin kepada 1.4 bilion penganut Katolik di seluruh dunia.

Dalam ucapan sulungnya, Pope Leo XIV berucap dalam Bahasa Itali dan Sepanyol, walaupun beliau juga diketahui boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, Perancis dan Portugis.

Lelaki berusia 69 tahun itu, yang memegang kerakyatan Peru, merupakan nama yang agak tidak dikenali dalam kalangan pemimpin dan penganut Katolik dan merupakan pilihan yang tidak diduga bagi jawatan Pope.

Berikut adalah apa yang diketahui tentang Pope baharu itu, yang menjadi kardinal pada tahun 2023.
Robert Prevost, kini Pope Leo XIV, semasa mudanya. Gambar ini tidak bertarikh. (Gambar: Midwest Augustinian Province of Our Mother of Good Counsel)
PERMULAAN BELIAU

Robert Francis Prevost dilahirkan di Chicago, Illinois pada 14 September 1955 dengan Louis dan Mildred Prevost adalah ibu bapanya.

Beliau membesar di St Mary of the Assumption, di bahagian selatan Chicago. Gereja tersebut sudah lama ditutup.

Prevost memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang matematik dari Universiti Villanova di Philadelphia pada tahun 1977. Beliau menamatkan pengajian teologinya di Catholic Theological Union di Chicago dan memperoleh ijazah sarjana dalam bidang tersebut pada tahun 1981.

Beliau menjadi paderi pada Jun 1982 dan mempelajari undang-undang Kristian di Universiti Pontifical St Thomas Aquinas (Angelicum) di Rome. Lima tahun kemudian, beliau menerima ijazah doktor falsafah.

PENGIKUT MAZHAB AUGUSTINIAN

Prevost diterima masuk ke dalam mazhab Augustinian pada tahun 1977, dan memimpinnya selama dua penggal dari 2001 hingga 2013.

Mazhab St Augustine dibentuk pada abad ke-13 sebagai masyarakat paderi yang berusaha gigih untuk membasmi kemiskinan dan menawarkan khidmat keagamaan.

Ia wujud di sekitar 50 negara dan etosnya termasuk pembersihan kerohanian, kehidupan bermasyarakat dan perkhidmatan kepada orang lain.

"Pope Leo XIV adalah seseorang yang mempunyai integriti yang tinggi, seorang pendengar yang tekun, dan teman kepada masyarakat terpinggir," kata Paderi Anthony B Pizzo dari Midwest Augustinian Our Mother of Good Counsel.
Seorang lelaki mengibar bendera Peru di hadapan Katedral selepas Kardinal Robert Prevost dipilih sebagai pope baharu, mengambil nama Leo XIV, di Lima, Peru, 8 Mei 2025. (Gambar: AP/Cesar Zamalloa)
PEGANG 2 KERAKYATAN

Pope Leo XIV memegang dua kerakyatan- warga Amerika Syarikat dan Peru.

Beliau pertama kali pergi ke Peru sebagai mubaligh Kristian pada tahun 1985, kembali ke Amerika Syarikat pada tahun 1986 untuk mengambil alih tugas pengarah dalam mazhab Augustin.

Pada tahun 1988, beliau kembali ke Peru selama kira-kira satu dekad di bandar Trujillo, sebelum kembali ke Amerika Syarikat untuk menggalas peranan kepimpinan pada 1999.

Selepas memimpin fahaman tersebut dari 2001 hingga 2013, beliau sekali lagi kembali ke Peru pada tahun 2014 dan dilantik sebagai biskop Chiclayo pada September 2015. Beliau juga menjadi warga Peru pada tahun 2015.

Jesus Leon Angeles, penyelaras kumpulan Katolik di Chiclayo yang mengenali Prevost sejak 2018, menyifatkan Prevost sebagai seseorang yang "sangat sederhana" yang akan berusaha sedaya upaya untuk membantu orang lain.

Leon Angeles berkata Prevost menunjukkan perhatian yang mendalam terhadap nasib pendatang Venezuela di Peru, dengan berkata: "Beliau adalah seorang yang suka membantu."
Pope Leo XIV yang baru dipilih, Kardinal Robert Prevost dari Amerika Syarikat, muncul di balkoni Basilika St. Peter di Vatican, 8 Mei 2025. (Gambar: REUTERS/Claudia Greco)
NAMA PILIHANNYA

Apa yang ada pada nama? Banyak perkara penting pada nama yang dipilihnya.

Setelah dipilih, nama yang diambil oleh pope sering dilihat sebagai tanda fokus dan hala tuju mereka dalam menggalas tanggungjawab sebagai pope.

Ia boleh menandakan kesinambungan atau perubahan dari masa lalu, dan menggambarkan sama ada pemimpin baharu Gereja Katolik itu bersifat progresif atau tradisionalis.

Pope Leo sebelumnya - Leo XIII, yang menjadi pope pada akhir abad ke-19 - adalah pembela hak pekerja.

Beliau meletakkan asas untuk pemikiran sosial Katolik moden, menangani hak-hak pekerja dan kapitalisme pada permulaan zaman perindustrian. Beliau juga mengkritik kedua-dua kapitalisme bersifat 'laissez-faire' dan sosialisme berpusatkan negara.

Dengan mengambil nama Leo XIV, pope baharu itu menunjukkan komitmen yang mendalam kepada isu-isu sosial, menurut Natalia Imperatori-Lee, pengerusi pengajian agama di Universiti Manhattan.

"Beliau meneruskan banyak usaha mendiang Pope Francis."

ADAKAH BELIAU AKAN TERUSKAN USAHA POPE FRANCIS?

Walaupun pandangan Pope Leo XIV mengenai banyak isu tidak diketahui, beliau adalah salah seorang daripada ramai kardinal yang dilantik oleh pendahulunya, Pope Francis.

Kira-kira 80 peratus daripada kardinal yang mengambil bahagian dalam konklaf tersebut dilantik oleh Pope Francis yang sudah meninggal dunia itu.

Semasa Pope Francis berkhidmat selama 12 tahun, beliau berusaha untuk membentuk gereja yang lebih penyayang, yang turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan golongan konservatif dengan pendekatannya yang progresif.

Paderi Mark Francis, rakan Prevost sejak 1970-an, memberitahu Reuters bahawa Prevost adalah penyokong tegar Pope Francis, terutama komitmen mendiang terhadap isu-isu keadilan sosial.

"Beliau sentiasa mesra dan kekal sebagai suara yang bernas dan berhemah bagi golongan miskin," kata Paderi Francis, yang menghadiri kuliah bersama Prevost dan kemudian mengenalinya secara peribadi apabila mereka berdua tinggal di Rome pada tahun 2000-an.

"Beliau bukan seseorang yang mahu mencari perhatian," tambahnya.
 
Pope Leo XIV, ketika itu Pentadbir Apostolik Chiclayo Robert Prevost, memberi ceramah semasa perayaan Corpus Christi di sebuah stadium di Chiclayo, Peru, 19 Jun 2015. (Gambar: AP/Julio Reano)
PEMINAT SUKAN

Pope baharu ini pernah berkata bahawa beliau adalah seorang pemain tenis amatur. Semasa di Peru, beliau juga dilaporkan menjadi penyokong kelab bola sepak Peru, Alianza Lima.

Paderi Giuseppe Pagano, yang belajar dan bekerja bersama Prevost, turut mendedahkan sokongan Prevost kepada kelab bola sepak Itali, AS Roma.

Di Amerika Syarikat, Pope Leo XIV adalah penyokong Chicago White Sox, lebih menyukai mereka berbanding pasukan Chicago Cubs.

"Beliau tidak pernah, sama sekali menjadi peminat Cubs. Jadi saya tidak tahu dari mana datangnya itu. Beliau sentiasa menjadi peminat Sox," kata saudara lelakinya John Prevost kepada media tempatan.

Dalam satu kenyataan, White Sox menyatakan bahawa kehadiran pope baharu itu akan sentiasa dialu-alukan di padang mereka dan "jersi White Sox dengan namanya termasuk topi sudahpun dalam perjalanan ke Rome".

Di bawah kepimpinan Pope Francis, San Lorenzo – kelab bola sepak Argentina yang telah lama disokongnya – memenangi Copa Libertadores iaitu kejohanan terbesar bagi bola sepak peringkat kelab di Amerika Selatan.

Pasukan kebangsaan Argentina juga memenangi Piala Dunia pertama mereka dalam lebih 30 tahun semasa beliau berkhidmat di Vatican.

Pope Benedict XVI, pope sebelum Pope Francis, dilaporkan menjadi peminat kelab Jerman, Bayern Munich.

APA YANG ADA DALAM SENARAI TUGASNYA?

Pope yang baru dilantik ini menghadapi beberapa cabaran besar.

Selain melantangkan suara moralnya di pentas dunia yang dilanda konflik, beliau mesti berusaha untuk menyatukan gereja yang berpecah belah dan menangani isu-isu yang mendesak seperti kesan berterusan daripada skandal penderaan seksual.

Ketika beliau menjadi kardinal, beliau berkongsi semula rencana online yang mengkritik dasar antipendatang Presiden Donald Trump.

Pope Leo XIV juga akan berdepan dengan defisit belanjawan €83 juta (S$121 juta) di Vatican dan pengaruh gereja yang semakin merosot di Eropah.

Pope baharu ini dijangka akan terus bergelut dengan skandal penderaan seksual melibatkan paderi dan skandal tersebut telah menghantui Gereja Katolik selama sekurang-kurangnya tiga dekad, menjejaskan kedudukan dan nama baik gereja tersebut di peringkat global.
 
Sumber : CNA/Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan