Skip to main content

Dunia

7 negara Amerika Selatan meterai perjanjian lindungi Amazon

Para pemimpin dari tujuh negara Amerika Selatan berhimpun pada Jumaat (6 Sep) untuk menandatangani satu perjanjian melindungi kawasan lembangan Sungai Amazon.

Anggaran Waktu Membaca:
7 negara Amerika Selatan meterai perjanjian lindungi Amazon

Asap kelihatan dari kebakaran di satu kawasan hutan Amazon dekat Amazonas, Brazil pada 17 Ogos (Gambar: reuters/Ueslei Marcelino)

Diterbitkan : 07 Sep 2019 08:43PM Dikemas Kini : 07 Sep 2019 08:44PM

LETICIA: Para pemimpin dari tujuh negara Amerika Selatan berhimpun pada Jumaat (6 Sep) untuk menandatangani satu perjanjian melindungi kawasan lembangan Sungai Amazon.

Mereka bersetuju untuk menanam semula pokok-pokok di hutan kawasan itu, menubuhkan satu rangkaian tindakan bencana alam dan melakukan pantauan satelit terhadap kegiatan yang memusnahkan hutan tersebut.

Persetujuan ini dicapai dalam sidang puncak sehari di bandar Leticia, Colombia.

Selain Presiden Ivan Duque bagi negara tuan rumah, para pemimpin lain yang hadir ialah Presiden Peru, Martin Vizcarra; Presiden Equador, Lenin Moreno dan Presiden Bolivia, Evo Morales. Suriname diwakili naib presiden Michael Adhin manakala Guyana menghantar menteri sumber semula jadi, Raphael Trotman.

Brazil, di mana terletaknya 60 peratus kawasan hutan Amazon, diwakili oleh Menteri Luar Ernesto Araujo.

Presiden negara itu Jair Bolsonaro, yang dikritik ramai atas dasar-dasar yang menggalakkan pemusnahan hutan dan lambat bertindak balas terhadap kebakaran itu, dilaporkan tidak hadir atas nasihat doktor.

Tahun ini sahaja lebih 80,000 kebakaran tercetus di hutan Amazon.

Langkah melindungi hutan tropika terbesar dunia itu dianggap amat penting dalam usaha menangani perubahan iklim dunia.

Ini memandangkan hutan Amazon menyerap sebahagian besar gas karbon yang menyebabkan kenaikan suhu bumi.

Sumber : Agensi berita/MU/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita