7 maut di Filipina akibat ribut tropika Ramil
Seramai tujuh orang dilaporkan maut manakala dua lagi hilang akibat Ribut Tropika Ramil, yang juga dikenali sebagai Fengshen, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) yang memetik Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Isnin (20 Okt).
Secara purata, Filipina dilanda sebanyak 20 kejadian ribut dan taufan setiap tahun. (Gambar: AP)
Dalam laporan terkininya, NDRRMC turut memaklumkan seorang cedera akibat taufan itu.
Lima mangsa yang terkorban berasal dari Calabarzon (Tagalog Selatan) manakala dua lagi dari Wilayah 6 (Visayas Barat). Sementara itu, dua individu yang dilaporkan hilang berasal dari Visayas Barat manakala mangsa yang cedera dari Calabarzon.
Laporan NDRRMC menyatakan kesemua mangsa masih perlu melalui proses pengesahan.
Ramil, yang melanda sebahagian Luzon dan Visayas pada hujung minggu lepas turut menjejas 37,852 keluarga atau 133,196 orang di Wilayah 2 (Lembah Cagayan), 3 (Luzon Tengah), Wilayah 6 dan Wilayah 8 (Visayas Timur).
Setakat tengah hari Isnin, 2,260 keluarga menerima bantuan di 166 pusat pemindahan, manakala 1,720 lagi menerima bantuan di lokasi lain, menurut NDRRMC.
Sebanyak 68 rumah dilaporkan rosak, kesemuanya di Wilayah 6, dengan 57 diklasifikasikan sebagai “rosak sebahagian” dan 11 lagi “rosak sepenuhnya.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.