Skip to main content

Dunia

7 maut dalam kebakaran bangunan di Paris

Tujuh maut manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah bangunan yang terletak di kawasan kejiranan mewah di Paris terbakar pada malam Isnin (4 Feb), menurut jabatan bomba. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Feb 2019 03:10PM Dikemas Kini : 06 Feb 2019 12:17AM

PARIS: Tujuh maut manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah bangunan yang terletak di kawasan kejiranan mewah di Paris terbakar pada malam Isnin (4 Feb), menurut jabatan bomba. 

Kebakaran yang berlaku di kawasan mewah ibu kota Perancis, 16th arrondissement, itu juga menyebabkan 27 orang termasuk tiga anggota bomba cedera ringan.

"Kami menjangkakan angka korban akan meningkat kerana api di tingkat tujuh dan lapan masih belum dapat dipadamkan," kata jurucakap jabatan bomba Kapten Clement Cognon kepada agensi berita AFP.

Para anggota bomba menyifatkan kebakaran yang bermula pada sekitar 1.00 pagi waktu tempatan itu sebagai satu "tapak kebakaran dahsyat". Sejauh ini, punca kebakaran itu masih belum dikenal pasti.

Beberapa penduduk yang terjejas berlari naik ke bumbung bangunan berhampiran untuk menyelamatkan diri daripada asap dan api.

Para anggota bomba berjaya mengosongkan bangunan di daerah rue Erlanger itu pada sekitar 5.00 pagi waktu tempatan, namun mereka masih lagi berusaha untuk memadamkan kebakaran.

Dua bangunan bersebelahan juga dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, dengan para pegawai tempatan berada di tempat kejadian bagi membantu mencari tempat tinggal sementara bagi para penduduk yang tidak dapat pulang ke rumah mereka.

Sekitar 200 anggota bomba masih lagi berada di tempat kejadian pada awal pagi tadi bagi memadamkan kebakaran itu serta merawat mereka yang cedera.

Beberapa batang jalan raya di kawasan kejiranan itu juga dikepung oleh polis dan anggota bomba, dengan seorang wartawan AFP mengatakan terdapat bau asap kuat di ruang udara.

Bangunan itu terletak di kawasan tumpuan pelancong dengan bangunan tarikan utama, termasuk Trocadero yang menghadap Menara Eiffel, Stadium Saint-Germain serta pusat beli-belah. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita