Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

7 maut akibat serangan udara Israel di utara Syria

Seramai tujuh orang dilaporkan terbunuh akibat serangan-serangan yang dilancarkan oleh tentera Israel, menurut kumpulan pemantau hak asasi manusia Syria.

Anggaran Waktu Membaca:
7 maut akibat serangan udara Israel di utara Syria

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 28 Mar 2019 09:10PM Dikemas Kini : 28 Mar 2019 09:12PM

DAMSYIK: Seramai tujuh orang dilaporkan terbunuh akibat serangan-serangan yang dilancarkan oleh tentera Israel, menurut kumpulan pemantau hak asasi manusia Syria.

Sebuah depot senjata api yang digunakan oleh pihak berkuasa Iran terjejas akibat serangan udara tersebut, menurut kumpulan itu lagi.

Pada Rabu (27 Mac), Syria mendakwa bahawa tentera Israel menyerang sasaran-sasaran industri di bahagian utara bandar Aleppo sambil menambah bahawa tenteranya dapat menembak jatuh beberapa peluru berpandu pihak musuh.

Sekiranya dakwaan Damsyik itu terbukti benar, ia merupakan serangan Israel yang pertama ke atas Syria setelah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah Israel.

Israel menawan Bukit Golan dari Syria dalam Perang Timur Tengah tahun 1967. Pada tahun 1981, Israel secara rasmi menakluki kawasan strategik itu tetapi ia tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, sekutu utama Israel.

Bagaimanapun pada Isnin (25 Mac), Presiden Trump mengubah dasar negara itu dan mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah Israel.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemudian mengadakan satu sidang bagi membincangkan tindakan Presiden Trump itu atas permintaan Syria.

Duta Syria di PBB, Bashar Jaafri, berkata negaranya menganggap surat yang ditandatangani oleh Presiden Trump pada Isnin (25 Mac) mengenai Bukit Golan sebagai pernyataan yang dibuat oleh satu pihak yang tidak sah dari segi politik, undang-undang ataupun moral untuk membuat keputusan sedemikian dan menentukan nasib para penduduk atau kawasan lain di dunia, seperti Bukit Golan yang merupakan milik Syria.

Bagaimanapun dalam sesi sidang tersebut, Duta Israel di PBB menegaskan lagi azam negaranya untuk terus berada di Bukit Golan.

"Kami berterima kasih kepada Amerika Syarikat bagi perisytiharannya yang adil dan bersejarah. Ia sekali lagi mencerminkan komitmen Amerika untuk memastikan keselamatan dan hak Israel bagi mempertahankan dirinya. Kami meminta negara-negara lain untuk menyertai Amerika mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik Israel," ujar Duta Israel di PBB, Danny Danon.

Namun, negara-negara lain dalam Majlis Keselamatan PBB, termasuk Rusia, menentang langkah Presiden Trump itu dan terus berpegang pada ketetapan mengenai status Bukit Golan yang menyeru agar kawasan itu dipulangkan kepada Syria.

Di samping boleh memburukkan pergolakan di Timur Tengah, lima negara Eropah dalam Majlis Keselamatan PBB - iaitu Perancis, Britain, Jerman, Belgium dan Poland - turut menyuarakan kebimbangan tentang kesan lebih luas terhadap perbuatan mengiktiraf penaklukan wilayah seperti itu.  

Sumber : AFP/MU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan