Skip to main content

Dunia

7 juta kanak-kanak bawah 5 tahun di Afrika diancam kebuluran, dedah UNICEF

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Selasa (23 Mei) menyatakan kanak-kanak di Afrika berdepan krisis yang belum pernah berlaku sebelum ini termasuk kelaparan, perpindahan, kekurangan air dan rasa tidak selamat, lapor Xinhua.

Lebih tujuh juta kanak-kanak bawah umur lima tahun yang mengalami kekurangan zat makanan, memerlukan segera bantuan pemakanan dengan 1.9 juta kanak-kanak berisiko mati akibat kekurangan zat makanan yang teruk, menurut UNICEFF.

Benua tersebut kini perlahan-lahan pulih daripada kemarau terburuk dalam tempoh 40 tahun. Akibat kekurangan hujan sepanjang tiga tahun lalu, masyarakat yang mudah terjejas itu hilang ternakan lembu, tanaman dan mata pencarian.

"Krisis di Afrika itu mengorbankan kanak-kanak. Krisis ini telah menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat keperluan asas - makanan yang mencukupi, rumah, air yang selamat dan pendidikan," kata pengarah wilayah UNICEF untuk Afrika Timur dan Selatan, Mohamed Fall.

Di seluruh rantau itu, 23 juta orang di Habsyah, Kenya dan Somalia terjejas akibat kekurangan makanan.

Selain keperluan pemakanan, cuaca yang melampau dan rasa tidak selamat turut memberi kesan buruk kepada wanita dan kanak-kanak selain risiko keganasan, eksploitasi seksual dan penderaan.

Penularan wabak termasuk taun, campak, malaria dan penyakit lain serta krisis iklim memburukkan lagi keadaan.

Harga makanan di pasaran tempatan yang tinggi membebankan kanak-kanak dan keluarga.

Pada 2022, menerusi sumbangan penderma, UNICEF dapat menyediakan perkhidmatan pencegahan kekurangan zat makanan kepada lebih 30 juta kanak-kanak dan ibu.

"Tahun ini, pembiayaan bukan sahaja akan membantu kanak-kanak pulih daripada ancaman krisis malah dapat membangunkan sistem yang lebih berdaya tahan dan mampan yang boleh menahan kesan dan kejutan iklim pada masa akan datang," katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita