Skip to main content

Dunia

7 individu berkait serangan JI di Ulu Tiram dibawa ke mahkamah untuk reman

Anggaran Waktu Membaca:
7 individu berkait serangan JI di Ulu Tiram dibawa ke mahkamah untuk reman

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 18 May 2024 09:47AM
JOHOR BAHRU: Tujuh individu yang ditahan pada Jumaat (17 Mei) kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini (18 Mei) bagi mendapatkan perintah reman.

Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berumur dalam lingkungan 19 hingga 62 tahun, yang ditahan menyusuli serbuan di kediaman keluarga suspek pada awal pagi Jumaat.

Turut direman dua penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.

Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, yang meninggal dunia dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu dijangka dituntut waris hari ini (18 Mei) untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing.

Jenazah Ahmad Azza Fahmi akan dikebumikan di Kampung Poh, Bidor, Perak manakala Muhamad Syafiq disemadikan di Kuantan, Pahang.

Setakat pukul 7.00 pagi ini, tinjauan Bernama mendapati suasana di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) lengang dan belum terdapat mana-mana waris mangsa yang hadir.

Dalam kejadian serangan pada pukul 2.45 pagi, tiga individu disahkan maut, iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berumur 34 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.
Anggota polis yang cedera akibat ditembak kini dirawat di HSI dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita