Skip to main content

Dunia

7 diberkas di London susuli pergaduhan di luar kedutaan Iran

Anggaran Waktu Membaca:
7 diberkas di London susuli pergaduhan di luar kedutaan Iran

Seorang penunjuk perasaan bercakap dengan polis sedang pihak berkuasa menyuraikan bantahan dekan kedutaan Iran di London, Britain, pada 20 Jun 2025. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 21 Jun 2025 08:25AM Dikemas Kini : 21 Jun 2025 08:26AM
LONDON: Tujuh lelaki diberkas kerana disyaki melakukan serangan menyusuli pergaduhan di luar kedutaan Iran di barat London pada Jumaat (20 Jun), menyebabkan dua orang cedera, menurut polis.

Polis Metropolitan menyatakan lelaki-lelaki tersebut ditahan "kerana disyaki menyebabkan kecederaan serius" dan dua individu menerima rawatan di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital.

Kecederaan mereka bagaimanapun tidak dipercayai mengancam nyawa.

Pergaduhan itu difahamkan berlaku dalam kalangan kumpulan penunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan yang menentang kepimpinan ulama Iran mengadakan bantahan di luar kedutaan sejak Ahad.

Kumpulan tersebut mempamerkan bendera yang dikaitkan dengan monarki Iran yang digulingkan, bersama bendera Israel.

Penunjuk perasaan itu menyokong Reza Pahlavi, yang kini hidup dalam buangan.

Reza Pahlavi adalah anak lelaki kepada Shah Mohammad Reza Pahlavi, yang pemerintahan pro-Barat beliau digulingkan semasa Revolusi Islam 1979.

Gambar-gambar yang diterbitkan oleh media Britain menunjukkan dua lelaki yang cedera sedang menerima rawatan di kaki lima berhampiran kawasan perkhemahan tunjuk perasaan.

Menyusuli kejadian itu, polis mengenakan larangan terhadap sebarang tunjuk perasaan di kawasan sekitar kedutaan.

Seorang lagi lelaki turut ditahan kerana disyaki melanggar larangan tersebut.

Penahanan itu berlaku sedang Iran dan Israel terus berbalas serangan selepas lapan hari konflik, sementara Amerika Syarikat menimbangkan kemungkinan negara itu terlibat dalam konflik berkenaan.

Diplomat kanan Eropah, termasuk setiausaha luar Britain, berhimpun di Geneva untuk bertemu dengan menteri luar Iran bagi mengadakan perbincangan yang memberi tumpuan kepada program nuklear Tehran.

Sebilangan rakyat Iran yang menetap di Eropah melihat perang ini sebagai peluang untuk mencabar pemerintahan pemimpin ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei, yang telah lama menghadapi tuduhan pencabulan hak asasi manusia dan tindakan keras terhadap penentangan.
Sumber : Reuters/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita