Skip to main content

Dunia

7 askar Israel terbunuh di Gaza, Netanyahu hadapi tekanan capai gencatan senjata

Tentera Israel menyatakan bahawa tujuh askarnya terbunuh dalam satu serangan di selatan Gaza pada Selasa (24 Jun), menjadikannya hari dengan paling ramai anggota tentera Israel terkorban di wilayah itu sejak Israel menamatkan gencatan senjata dengan Hamas pada Mac lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
7 askar Israel terbunuh di Gaza, Netanyahu hadapi tekanan capai gencatan senjata

Penduduk Palestin mencari mangsa di lokasi serangan semalaman Israel ke atas sebuah stesen minyak, di Bandar Gaza pada 25 Jun 2025. (Gambar fail: REUTERS/Khamis Al-Rifi)

TEL AVIV: Tentera Israel menyatakan bahawa tujuh askarnya terbunuh dalam satu serangan di selatan Gaza pada Selasa (24 Jun), menjadikannya hari dengan paling ramai anggota tentera Israel terkorban di wilayah itu sejak Israel menamatkan gencatan senjata dengan Hamas pada Mac lalu.

Menurut kenyataan tentera Israel pada Rabu, seorang leftenan, tiga staf sarjan dan tiga sarjan, kesemuanya anggota batalion jurutera tempur, terbunuh apabila bahan letupan yang dipasang pada kenderaan berperisai yang dinaiki mereka terbakar.

Kematian terbaharu tersebut dijangka meningkatkan tekanan awam terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mencapai gencatan senjata kekal di Gaza dan menamatkan perang yang hampir mencecah dua tahun itu, satu langkah yang ditentang keras oleh ahli-ahli garis keras dalam gabungan pemerintah sayap kanan beliau.

Sokongan rakyat terhadap Encik Netanyahu merosot berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas selatan Israel dari Gaza, mendedahkan Israel kepada kegagalan keselamatan yang paling banyak mendatangkan kematian.

Namun, kedudukan beliau diperkukuh semula berikutan keputusannya yang mengejut untuk melancarkan serangan ke atas Iran – satu kempen yang secara meluas dianggap memberikan tamparan hebat kepada musuh lama Israel itu.

Tumpuan kini kembali ke Gaza selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan satu gencatan senjata antara Israel dan Iran yang berkuat kuasa pada Selasa dan masih bertahan.

Moshe Gafne, seorang ahli parlimen daripada parti ultra-Ortodoks dalam gabungan pemerintah pimpinan Encik Netanyahu, pada Rabu secara terbuka mempersoalkan mengapa Israel masih terlibat dalam perang di Gaza.

“Ini hari yang sangat menyedihkan, dengan tujuh askar terbunuh di Gaza… Saya masih tidak faham mengapa kita terus berperang di sana. Apa kesudahannya?” katanya dalam satu jawatankuasa parlimen.

Sayap ketenteraan Hamas mengesahkan bahawa pihaknya melancarkan serangan maut di Khan Younis, selatan Gaza, pada Selasa. Ia turut menyatakan bahawa pejuangnya juga melepaskan peluru berpandu antikereta kebal ke arah satu lagi kenderaan yang datang untuk membantu.

Perang di Gaza menyebabkan Israel semakin terasing daripada rakan-rakan antarabangsanya yang mengkritik kempen ketenteraan tersebut. Sepanjang 12 hari pertempuran antara Israel dan Iran, lebih 800 rakyat Palestin terbunuh di Gaza akibat serangan tentera Israel, termasuk sekurang-kurangnya 30 orang pada Rabu, antaranya seorang wartawan, menurut pegawai kesihatan tempatan.

Hari paling berdarah bagi tentera Israel sejak perang bermula ialah pada Januari 2024, apabila 24 askarnya terbunuh, 20 daripadanya dalam satu letupan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita