Skip to main content

Dunia

69 warga asing diselamatkan dekat Malta

Sekumpulan 69 warga asing yang melakukan perjalanan menggunakan sebuah bot kayu berjaya diselamatkan di kawasan perairan dekat Malta, menurut tentera laut negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
69 warga asing diselamatkan dekat Malta

Seramai 69 warga asing diselamatkan dekat Malta oleh tentera laut negara itu. (Gambar: Matthew Mirabelli/AFP)

Diterbitkan : 31 Dec 2018 10:26AM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 10:30AM

VALLETTA: Sekumpulan 69 warga asing yang melakukan perjalanan menggunakan sebuah bot kayu berjaya diselamatkan di kawasan perairan dekat Malta, menurut tentera laut negara itu.

Seramai 49 warga asing yang lain pula masih berada di laut, menantikan sesebuah negara untuk membenarkan mereka berlabuh.

Warga asing itu membuat satu panggilan cemas di sekitar 117 batu nautika dari bahagian barat daya Malta, dan sebuah kapal tentera milik negara tersebut kemudian dikerahkan bagi membantu mereka, menurut satu kenyataan.

Sementara itu, kapal Sea-Eye yang dimiliki pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Jerman menyatakan kapal penyelamatnya sedang memberi respons kepada satu lagi aduan mengenai sebuah bot yang membawa 24 warga asing.

Kapal yang berdaftar di Jerman itu kini membawa 17 warga asing dari Afrika Selatan yang diselamatkan dari kawasan perairan antarabangsa, di luar Libya pada Sabtu (29 Dis).

Pada masa yang sama, kapal Sea-Watch yang berdaftar di Belanda menyatakan ia menyelamatkan 32 warga asing pada 22 Disember. Mereka termasuk tiga kanak-kanak kecil, tiga remaja tanpa ibu bapa dan empat wanita dari Nigeria, Libya dan Ivory Coast.

Itali, Malta, Sepanyol dan Belanda enggan menerima warga asing yang diselamatkan oleh Sea-Watch 3, namun beberapa bandar di Jerman menawarkan untuk mengambil masuk warga asing tersebut.

Bagaimanapun pada Sabtu lalu (29 Dis), jurucakap pemerintah negara itu berkata Jerman hanya akan menerima sesetengah warga asing jika negara-negara Eropah yang lain juga bersetuju untuk berbuat demikian.

Pada minggu lalu, seorang bayi lelaki yang baru lahir dan ibunya diselamatkan dari sebuah bot dan dihantar ke Malta menerusi sebuah helikopter.

Sejak permulaan tahun ini, lebih 1,300 warga asing maut dalam usaha mereka untuk mencuba melakukan perjalanan ke Itali atau Malta, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Penghijrahan (IOM).  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita