Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

67 pencawang ditutup akibat banjir di Pahang, Johor

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan 67 pencawang elektrik di Pahang dan Johor akibat banjir, membabitkan 5,845 pengguna.

Anggaran Waktu Membaca:
67 pencawang ditutup akibat banjir di Pahang, Johor

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 05 Jan 2021 07:47AM Dikemas Kini : 05 Jan 2021 07:54AM

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan 67 pencawang elektrik di Pahang dan Johor akibat banjir, membabitkan 5,845 pengguna.

TNB dalam kenyataan memaklumkan setakat pukul 10.00 pagi Isnin (4 Jan), 57 pencawang di daerah Kuantan, Rompin, Maran, Jengka, Jerantut, Bentong, Raub dan Kuala Lipis di Pahang dihentikan tugas demi keselamatan pengguna, sementara 10 pencawang di Johor melibatkan Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kluang dan Kota Tinggi turut ditutup.

Jelas TNB, penutupan 67 pencawang itu melibatkan 4,502 pengguna di Pahang dan 1,343 pengguna di Johor.

"Sementara itu, 18 pencawang elektrik di Johor dan tiga di Pahang menerima bekalan sementara daripada set jana kuasa bergerak. Usaha menyambung bekalan sementara di daerah Kuala Lipis dan Raub terganggu akibat keadaan banjir yang belum surut dan kejadian tanah runtuh yang menghalang laluan.

"TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan elektrik dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, TNB memaklumkan paras air Empangan Sultan Abu Bakar (SAB) di Cameron Highlands, Pahang kembali normal.

Menurut TNB, semboyan pertama dibunyikan secara putus-putus berserta lampu amaran kuning sejak pukul 4.43 petang semalam di empangan itu untuk memberi amaran kepada penduduk bahawa paras air sedang meningkat dan bersedia kemungkinan pengungsian jika paras terus meningkat.

Bagaimanapun, paras terkini adalah normal dan di bawah paras limpahan terkawal serta semboyan putus-putus dihentikan pada pukul 2.43 pagi semalam.

Justeru, TNB menasihatkan pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

"Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air," menurut TNB.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan