Skip to main content

Dunia

620 remaja Indonesia terdedah kepada ekstremisme ganas, fahaman radikal secara online

Anggaran Waktu Membaca:
620 remaja Indonesia terdedah kepada ekstremisme ganas, fahaman radikal secara online

Ketua Badan Nasional Penanggulangan Terorisme (BNPT) Eddy Hartono berucap semasa pembukaan acara bagi memperkukuh peranan sekolah dan tenaga pendidik dalam mencegah ekstremisme ganas yang membawa kepada pengganasan di Jakarta pada 2 Sep 2026. (Gambar: ANTARA/Laily Rahmawaty)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 08:55PM
JAKARTA: Seramai 620 remaja di 34 wilayah Indonesia dikenal pasti terdedah kepada ekstremisme ganas dan fahaman radikal secara online dalam tempoh lapan bulan pertama 2026.

Ketua Badan Nasional Penanggulangan Terorisme (BNPT) Eddy Hartono berkata angka itu berdasarkan maklumat risikan yang dikumpulkan bersama unit antipengganasan polis, Detasemen Khusus 88 (Densus 88).

Remaja yang terjejas berusia antara 11 hingga 18 tahun dan menemui kandungan ekstremis menerusi forum online, podcast, YouTube serta masyarakat maya khusus.

Menurut kajian BNPT, internet kini menjadi wadah paling berkesan bagi propaganda pengganas, pengambilan anggota dan pembiayaan kegiatan pengganasan.

Encik Eddy berkata golongan bawah umur sering terdedah kepada pelbagai kandungan online berkaitan keganasan di dunia nyata.

Pendedahan berulang kepada kandungan sedemikian boleh menyebabkan tingkah laku ganas dianggap sebagai sesuatu yang biasa.

Beliau memberi contoh True Crime Community, di mana para anggotanya membincangkan dan menganalisis peristiwa ganas dalam sejarah, sebagai satu bentuk subbudaya online yang perlu dipantau dengan teliti.

Namun, Encik Eddy menegaskan minat terhadap kisah jenayah sebenar tidak dengan sendirinya merujuk minat terhadap pengganasan atau mewajarkan golongan muda diberikan stigma.

Beliau memberi amaran bahawa perbuatan mengagung-agungkan keganasan boleh menimbulkan risiko.

620 REMAJA TERIMA CAMPUR TANGAN

BNPT menyatakan kesemua 620 remaja yang dikenal pasti sudah menerima campur tangan bersasar daripada pihak penguatkuasa undang-undang dan pihak berkuasa kebajikan menyusuli penilaian yang dijalankan.

Agensi itu juga sedang memperluaskan program campur tangan awal di sekolah bagi mencegah ekstremisme ganas dan fahaman radikal daripada menular dalam sistem pendidikan Indonesia.

BNPT bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Dasar dan Menengah, Kementerian Agama serta Kementerian Sosial Indonesia bagi memperkukuh usaha pencegahan di seluruh negara.

Program tersebut menyediakan latihan khusus kepada jawatankuasa sekolah, guru dan pentadbir untuk mengenal pasti serta menangani tanda-tanda fahaman radikal dalam bilik darjah dan masyarakat setempat.
Sumber : Agensi berita/FD/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita