Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

62 jemaah umrah M'sia terkandas di Jakarta angkara tiket penerbangan pulang

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Seramai 62 jemaah umrah dari Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Soekarno - Hatta, Jakarta, berikutan ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.

Jemaah yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2.00 petang pada Khamis (23 Feb) dijadualkan untuk transit di Jakarta sebelum berlepas ke Jeddah pada jam 7.00 malam pada Khamis.

Kumpulan jemaah itu dilaporkan akan menunaikan ibadah umrah bermula Khamis hingga 7 Mac ini.

Namun, kesemua mereka tidak dibenarkan berlepas berikutan pihak agensi pelancongan tidak membeli tiket balik dari Jeddah.

Status penerbangan pulang yang 'mengelirukan' menyebabkan pihak berkuasa lapangan terbang itu tidak membenarkan kumpulan jemaah tersebut meneruskan perjalanan meskipun tiket ke Jeddah menggunakan pesawat Saudi Airlines sudah dibeli.

Rata-rata jemaah meluahkan rasa kecewa berikutan pihak agensi cuai dalam pembelian tiket.

Salah seorang jemaah, Hamizah Basir, yang merupakan wartawan Sinar Harian turut terkandas dalam kumpulan tersebut.

"Kami sepatutnya terbang ke Jeddah pukul 7.00 malam waktu Indonesia tetapi kami tidak dibenarkan berlepas kerana tiada tiket pulang.

"Kecuaian pihak agensi pelancongan menyebabkan kami tersidai di airport sejak pukul 6.00 petang tadi," katanya, dipetik daripada Sinar Harian.

Salah seorang jemaah, Dewi Hidayanti Harun, 57 tahun, berkata beliau berasa kecewa dengan pihak pengurusan agensi pelancongan berkenaan kerana banyak kali gagal menunaikan janji kepada para jemaah.

"Saya sekeluarga alami masalah tiket sejak dari bulan Oktober lagi. Sudah lima kali tiket saya ditunda oleh pihak syarikat sehinggalah semalam baru dapat tiket penerbangan.

"Apa yang menimbulkan persoalan sekarang ini adalah macam mana pihak agensi pelancongan boleh terbangkan kami tanpa beli tiket pulang?

"Mula-mula kami dijanjikan akan terbang terus ke Madinah. Tapi tiket berubah apabila diberitahu perlu transit di Jakarta.

"Bila sampai di Jakarta, kami tidak dibenarkan berlepas ke Jeddah. Jadi, kami kena tunggu sampai bila?," soalnya hampa.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi wakil agensi pelancongan tersebut gagal apabila panggilan tidak dijawab.

Sinar Harian difahamkan pihak pengurusan syarikat, yang beribu pejabat di Putrajaya, sedang bermesyuarat bagi menangani masalah jemaah terkandas itu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan