Skip to main content

Dunia

60,000 jemaah haji Indonesia kini di Madinah; 5,000 di Makkah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 May 2025 07:01PM Dikemas Kini : 12 May 2025 08:13PM

JAKARTA: Indonesia tahun ini mendapat kuota sebanyak 221,000 jemaah.

Ini merangkumi sekitar 203,000 jemaah bagi kuota untuk pakej haji biasa dan lebih 17,000 kuota bagi jemaah pakej haji khusus atau 'plus'.

Sekitar 60,000 jemaah Indonesia sudah sampai di Madinah, dengan sekitar 5,000 jemaah sudah tiba di Makkah sejak Sabtu (10 Mei) malam.

Namun ketibaan 2,800 jemaah haji Indonesia tetap tergendala apabila salah satu daripada 10 bas yang membawa para jemaah dari Madinah ditahan di pusat pemeriksaan di kota Makkah semalam kerana belum cukup syarat izin masuk menerusi aplikasi bijak Nusuk.

Semua jemaah haji Indonesia itu bagaimanapun akhirnya sampai ke Makkah pada waktu subuh tadi.

PEMERIKSAAN LEBIH KETAT DIKUAT KUASA

Akibat syarat baharu mendapatkan surat izin masuk ke Makkah tahun ini, hanya  pemegang visa haji dibenarkan masuk ke kota paling suci dalam Islam ini, sejak 29 April lalu.

Ini bermakna pemeriksaan lebih ketat dikuatkuasakan bagi mengekang para jemaah haji tidak sah atau mereka yang hanya memiliki visa umrah atau ziarah daripada memasuki Makkah.

Jemaah haji Indonesia, Mukhlisin berkata: "Memang ada beberapa hal tadi tergendala ketika masuk ke Makkah kerana ada beberapa jemaah yang belum menerima surat izin Nusuk. 

"Maka jawapannya semuanya ada di pasport. 

"Alhamdulilah setelah diperiksa, semuanya selesai dan kita boleh berjalan lagi sehingga sampai ke hotel menjelang Subuh."

Lebih 2,000 jemaah haji Indonesia yang tiba di Makkah dari Madinah semalam, akan ditempatkan di 20 buah hotel.

Tujuh dapur untuk melayani jemaah Indonesia juga sudah mula beroperasi di Makkah.

Sementara itu, gelombang kedua para jemaah haji Indonesia akan tiba di Jeddah mulai 17 Mei melalui Lapangan Terbang Raja Abdulaziz.

Baki para jemaah haji Indonesia yang tiba di Jeddah kelak, juga akan langsung menuju ke Makkah untuk melaksanakan umrah wajib. 

Para petugas haji Indonesia dilaporkan akan bekerja 24 jam untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik.

Namun sebelum ini, para petugas haji Indonesia tahun ini juga terjejas oleh kawalan ketat yang dikuatkuasakan pihak berkuasa Saudi untuk memastikan hanya para pemegang visa haji saja dibenarkan berada di Makkah.


Petugas haji Indonesia, Ustaz Mohammad Sofi Aw berkata: "Sampai detik ini, para petugas haji yang bermastautin di Arab Saudi, hanya beberapa petugas yang hadir kerana peraturannya yang dari luar kota Makkah sulit memasuki Makkah kerana diharuskan oleh pihak berkuasa Saudi harus memiliki surat izin. 

"Namun para petugas dari Indonesia mungkin 80 peratus hingga 90 peratus sudah berada di kota suci Makkah."

Kementerian Agama Indonesia sebelum ini menegaskan, jarak hotel yang menempatkan para jemaah haji Indonesia tahun ini, paling jauh sekitar 5 kilometer dari Masjidil Haram.

Ini termasuk di kawasan-kawasan seperti Syisyah, Raudhah, Jarwal, dan Misfalah.

Tahun ini, sebanyak 205 hotel yang akan digunakan jemaah Indonesia sudah melalui proses pemeriksaan oleh para petugas haji untuk memastikan mutu dan kemudahan yang ditawarkan adalah lengkap.

Setiap jemaah haji Indonesia juga disediakan makan tiga kali sehari dengan menu yang disesuaikan dengan citarasa Nusantara.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita