Skip to main content

Dunia

6,000 murid di Malaysia dijangkiti influenza

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan kira-kira 6,000 murid dikesan dijangkiti virus influenza, lapor BH Online.

Anggaran Waktu Membaca:
6,000 murid di Malaysia dijangkiti influenza

Ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah di Karak, Pahang, Malaysia sempena permulaan tahun persekolahan baharu pada 21 Mac 2022. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan kira-kira 6,000 murid dikesan dijangkiti virus influenza, lapor BH Online.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata selain itu terdapat beberapa sekolah yang melaksanakan arahan penutupan sementara menyusuli nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan jumlah sebenar sekolah yang melaksanakan penutupan sementara itu.

Kata beliau, KPM sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memantau perkembangan jangkitan berkenaan, selain akur jika ada mana-mana sekolah perlu ditutup demi keselamatan pelajar dan warga sekolah, lapor BH Online.

"Kita sudah minta pegawai di peringkat Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk bersiap sedia kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula pada 3 November nanti.

"(Setakat ini) kira-kira 6,000 pelajar dikenal pasti berhadapan jangkitan influenza. Namun kes itu tidak tertumpu di satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan sekolah di beberapa negeri," kata beliau pada sidang media khas pada Isnin (13 Okt).

Dr Mohd Azam berkata, penutupan sekolah dilakukan secara bersasar bergantung kepada tahap penularan dan nasihat daripada PKD, dengan Johor antara terbabit penularan serta penutupan sekolah.

"Tidak semua sekolah dengan kes influenza perlu ditutup. Ada yang hanya perlu memberikan cuti sakit kepada pelajar terlibat sahaja," kata beliau seperti dipetik BH Online.

Pada masa yang sama, Dr Mohd Azam menyarankan semua institusi pendidikan untuk merujuk garis panduan pengurusan penyakit berjangkit serta melaporkan terus kepada pejabat kesihatan.

Menurut beliau, pelajar dan warga sekolah juga digalakkan untuk memakai pelitup, selain mengurangkan aktiviti membabitkan murid-murid untuk berinteraksi secara beramai-ramai.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita