60,000 pek makanan sedia makan tersedia bagi jemaah haji M'sia
Sebanyak 60,000 pek makanan disediakan untuk jemaah haji Malaysia ketika beribadah Masyair di Arafah dan Mina minggu depan bagi memudahkan urusan penyediaan makanan, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Syed Saleh Syed Abd Rahman.
Pek ‘makanan sedia dimakan’ milik Taj Food untuk jemaah haji Malaysia. (Gambar: BERNAMA)
JEDDAH: Sebanyak 60,000 pek makanan disediakan untuk jemaah haji Malaysia ketika beribadah Masyair di Arafah dan Mina minggu depan bagi memudahkan urusan penyediaan makanan, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Syed Saleh Syed Abd Rahman.
Beliau berkata penyediaan pek ‘makanan sedia dimakan’ itu hanya melibatkan tiga hidangan pada musim haji kali ini iaitu makan malam pada 9 Zulhijjah (10 Ogos) di Arafah serta dua hidangan di Mina iaitu makan malam pada 12 Zulhijjah (13 Ogos) dan makan tengah hari pada 13 Zulhijjah (14 Ogos).
"Pada 9 Zulhijjah semua jemaah akan dapatkan sajian ini, manakala bagi 12 dan 13 Zulhijjah kita sediakan (untuk) mereka yang membuat Nafar Thani iaitu kira-kira separuh daripada jemaah haji kita yang akan berada di Mina.
"Ini peningkatan kita cuba buat tahun ini, jika ia berjaya dan mendapat maklum balas yang baik daripada jemaah haji, petugas dan muassasah nanti, kita akan teruskan dengan meningkatkan jumlah sajian pada masa akan datang," katanya.
Terdahulu, Syed Saleh bersama petugas Lembaga Tabung Haji (TH) serta kumpulan media Malaysia melakukan lawatan ke kilang ‘makanan sedia dimakan’ milik Taj Food yang membekalkan pek makanan untuk jemaah haji Malaysia.
Turut hadir ialah Pengerusi Taj Food Jameel Sulaiman Bondagji.
Syed Saleh berkata pihaknya masih berbincang dengan muassasah dan kilang pengeluar makanan terlibat bagi menu sajian namun berdasarkan perbincangan awal, pada 9 Zulhijjah jemaah akan menikmati kari ayam, 12 Zulhijjah (ayam tikka masala) dan 13 Zulhijjah masih belum diputuskan.
Beliau berkata pek makanan itu akan memudahkan operasi penyediaan makanan untuk jemaah haji kerana ia hanya perlu dipanaskan selama 10 minit tanpa perlu menyediakan dapur lengkap dengan petugas untuk memasak.
"Pek ini boleh bertahan sehingga dua tahun dan apabila dibuka boleh dimakan dalam tempoh dua jam, kita sudah uji rasa makanan disediakan ini, ianya sedap dan baunya seperti makanan biasa, ia amat sesuai digunakan semasa di Arafah dan Mina nanti," katanya.
30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima tahun ini dibantu 640 petugas TH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.