Skip to main content

Dunia

6 sekeluarga maut dalam nahas di Sungai Petani; SUV baharu diterima pada hari kejadian

Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dinaiki enam sekeluarga yang maut dalam nahas di Pinang Tunggal di Sungai Petani pada Ahad (7 Jun), dipercayai baharu dibeli oleh seorang daripada mangsa dan diterima pada hari kejadian.

Anggaran Waktu Membaca:
6 sekeluarga maut dalam nahas di Sungai Petani; SUV baharu diterima pada hari kejadian

Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dinaiki enam sekeluarga yang maut dalam nahas di Pinang Tunggal di Sungai Petani pada 7 Jun 2024 dipercayai baharu dibeli dan diterima pada hari kejadian. (Gambar: JBPM)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 08:25AM
SUNGAI PETANI: Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dinaiki enam sekeluarga yang maut dalam nahas di Pinang Tunggal di Sungai Petani pada Ahad (7 Jun), dipercayai baharu dibeli oleh seorang daripada mangsa dan diterima pada hari kejadian.

Ibrahim Ghazali, 39, yang juga ahli keluarga mangsa berkata kenderaan itu milik adik iparnya, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, namun, ketika kejadian ia dipandu oleh seorang lagi adik iparnya, Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 27.

Encik Ibrahim berkata ketika kejadian, kedua-dua adik iparnya bersama empat lagi termasuk anaknya dalam perjalanan menziarahi kubur arwah bapa mentuanya di Merbok, dekat Sungai Petani.

“Tengah hari tadi mereka singgah di rumah saya di Bertam Putra, Pulau Pinang, untuk mengambil anak lelaki saya, Iskandar Arfan, 7, yang turut terkorban dalam kemalangan itu.

“Mereka teruja menaiki kereta baharu milik adik ipar saya, Ahmad Fahim, yang turut berada dalam kenderaan itu. Saya dimaklumkan mereka dalam perjalanan menziarahi kubur arwah bapa mentua di Merbok,” katanya ketika ditemui di Sungai Petani.

Encik Ibrahim berkata anaknya yang terkorban dalam kemalangan itu amat teruja untuk menaiki kenderaan baharu berkenaan.

“Semasa mereka sampai di rumah saya untuk mengambil Iskandar Arfan, anak saya sedang makan, tetapi terus membasuh tangan dan naik ke dalam kenderaan itu,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 3.45 petang itu, SUV terbabit yang dipercayai dipandu Encik Ahmad Shafiq bertembung dengan sebuah lori, menyebabkan enam sekeluarga termasuk seorang bayi meninggal dunia, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah.

Selain Encik Ahmad Shafiq, Encik Ahmad Fahim dan Iskandar Arfan, mangsa lain yang maut ialah Cik Nora Mhd Husin, 55, ibu kepada Encik Ahmad Shafiq dan Encik Ahmad Fahim, serta Cik Jamaliah Sannusi, 27.

Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah bayi berusia enam bulan yang identiti serta jantinanya belum disahkan.

Sementara itu, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka yang tular, Proton X50 itu dilihat memasuki laluan bertentangan ketika melalui jalan lurus di lokasi kejadian sebelum bertembung dengan lori yang membawa muatan tanah.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita