Skip to main content

Dunia

6 pegawai keselamatan cedera akibat rusuhan di pejabat BP Batam

Anggaran Waktu Membaca:

BATAM: Beberapa pegawai keselamatan cedera selepas dilempar batu dalam satu rusuhan di hadapan pejabat Badan Pengusahaan (BP) Batam pada Isnin (11 Sep).

Mereka yang terlibat dalam rusuhan tersebut membantah rancangan pelaburan di kawasan Pulau Rempang.

Media tempatan, Antara, melaporkan para pegawai keselamatan tersebut terdiri daripada petugas Direktorat Pengamanan (Ditpam) BP Batam dan pihak polis.

Mereka dihantar ke klinik yang disediakan di dalam pejabat BP Batam dengan segera untuk dirawat.

"Kira-kira enam individu terluka, baik daripada pihak Ditpam atau polis. Salah satunya adalah jeneral satu bintang. Beliau mengalami luka di bahagian dagu selepas dilempar batu, sehingga berdarah," lapor wartawan Antara.

Penduduk yang menyertai rusuhan itu masih berada di sekitar kawasan pejabat BP Batam. Pegawai keselamatan dari Tentera Nasional Indonesia (TNI),Polis Negara Republik Indonesia (Polri), dan Ditpam BP Batam juga menjaga kawasan itu dengan seragam lengkap.

Selain itu, kenderaan taktikal dikerah untuk mengawal kemarahan orang ramai.

Menurut laporan Antara, mereka yang melakukan rusuhan dengan aman, menjadi riuh-rendah ketika mereka menghancurkan pagar pejabat BP Batam.

Selain batu, kayu dan bom molotov juga dilempar ke arah halaman pejabat BP Batam.

Gas pemedih mata dan meriam air kemudian dilepaskan ke arah para penunjuk perasaan.

Perusuh bukan hanya terdiri dari penduduk berbangsa Melayu di Batam, mereka juga disertai masyarakat Melayu dari wilayah lain, yang membantah usaha pemindahan penduduk Rempang Galang.


Rusuhan berlaku akibat rancangan pemerintah Indonesia untuk membangunkan Rempang Eco-City di tanah tersebut.


Pada hujung Ogos, pemerintah menyertakan projek pembangunan Rempang Eco-City dalam senarai projek nasional strategiknya.

Pulau tersebut akan dibangunkan menjadi kawasan perindustrian, pelancongan dan perumahan oleh pemaju PT Makmur Elok Graha, iaitu anak syariakt kepada PT Artha Graha dimiliki usahawan Tommy Winata.

Penduduk tersebut menentang rancangan pemindahan itu kerana mereka sudah menetap di kawasan tersebut sejak 1934. Walau bagaimanapun, pemerintah akan meneruskan dengan projek itu.

Memberikan reaksinya, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan Indonesia, Mahfud Md. meminta pihak berkuasa keamanan agar berhati-hati dalam menangani masalah di Pulau Rempang, Kepulauan Riau itu.

"Saya berharap supaya berhati-hati menangani ini," ujar Mahfud kepada wartawan di Istana Kepresidenan RI, Jakarta, Isnin (11 Sep).

Beliau turut mengatakan sudah ada kesepakatan yang dicapai pada 6 September lalu bahawa pemerintah akan membangunkan rumah bagi masyarakat di sana.

Encik Mahfud juga menjelaskan bahwa persoalan hukum di Rempang sudah selesai.

Menurutnya pada tahun 2001 dan 2002 telah diputuskan bahawa perluasan kawasan wisata di pulau-pulau yang terlepas dari pulau induknya, salah satunya Pulau Rempang.

Pada tahun 2004 dimeterai nota persefahaman antara BP Batam untuk pengembangan kawasan wisata di pulau-pulau tersebut.

Encik Mahfud lantas berkata, "Nah, di situ terjadi perintah pengosongan kerana pada tahun ini akan masuk kegiatan-kegiatan yang sudah dicapai pada tahun 2004 sesuai dengan kebijakan tahun 2001, dan 2002."

Selanjutnya, kata Encik Mahfud, pada 6 September lalu sudah dilakukan rundingan dengan masyarakat yang menghasilkan kesepakatan pemindahan 1,200 keluarga.

Setiap ketua keluarga diberikan tanah 500 meter persegi dan dibangunkan rumah.

Masyarakat juga diberi wang pampasan menunggu sebelum dipindahkan serta diberi wang sewa rumah sambil menunggu pembangunan rumah baru.

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita