Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

6 pasangan berkhalwat dihukum rotan susuli serbuan hotel

Enam pasangan dijatuhi hukuman sebat di depan khalayak ramai di wilayah Aceh pada Isnin (4 Mac) kerana menjalin hubungan sulit, dengan sekurang-kurangnya dua wanita kelihatan tidak berupaya berjalan selepas disebat.

Anggaran Waktu Membaca:
6 pasangan berkhalwat dihukum rotan susuli serbuan hotel

Kesemua 12 orang yang dikenakan hukuman sebat diberkas pada 2018, semasa serbuan yang dijalankan ke atas sebuah hotel di Banda Aceh. (Gambar: Chaideer Mahyuddin/AFP)

Diterbitkan : 05 Mar 2019 09:16AM Dikemas Kini : 05 Mar 2019 11:39AM

BANDA ACEH: Enam pasangan dijatuhi hukuman sebat di depan khalayak ramai di wilayah Aceh pada Isnin (4 Mac) kerana menjalin hubungan sulit, dengan sekurang-kurangnya dua wanita kelihatan tidak berupaya berjalan selepas disebat.

Hukuman rotan itu biasanya dijatuhkan bagi pelbagai kesalahan yang dilakukan di pulau Sumatera itu. Ini termasuk kegiatan perjudian, meminum arak dan mengadakan hubungan seks sesama jenis.

Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia, dengan jumlah penduduk Islam paling tinggi di dunia, yang menguatkuasakan undang-undang Syariah.

Kesemua 12 orang yang dikenakan hukuman sebat pada Isnin (4 Mac) diberkas pada lewat tahun lalu, semasa satu serbuan yang dijalankan ke atas sebuah hotel di Banda Aceh.

Empat daripada mereka, yang masing-masing disebat tujuh kali, didapati berkhalwat dengan pasangan bukan mahram.

Sementara itu, yang lain pula dirotan antara 17 hingga 25 kali kerana menjalin hubungan intim tanpa pernikahan, kata seorang pegawai.

Kesemua 12 pesalah itu juga sudahpun menjalani hukuman penjara selama beberapa bulan sebelum disebat di khalayak ramai.

"Undang-undang itu bertujuan untuk mencegah berlakunya kejadian seperti itu lagi, bukan sahaja bagi para pesalah tetapi juga bagi mereka yang menyaksikan hukuman tersebut dilaksanakan," kata ketua agensi ketenteraman awam tempatan, Marwan.

Kumpulan hak asasi mengutuk keras hukuman itu sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang kejam. Presiden Indonesia Joko Widodo turut menggesa agar hukuman itu dihentikan.

Bagaimanapun, hukuman itu disokong oleh penduduk Aceh di mana sekitar 98 peratus daripada lima juta penduduknya beragama Islam.

Pada Disember lalu, dua lelaki yang didapati mengadakan hubungan seks dengan perempuan-perempuan bawah umur masing-masing dirotan 100 kali.

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan