6 maut dalam 'tembakan beramai-ramai' di Bangkok
Sekurang-kurangnya enam orang maut dalam kejadian tembakan di sebuah pasar di ibu kota Bangkok, Thailand pada Isnin (28 Jul), menurut seorang pegawai polis.
Petikan skrin video yang memaparkan suspek. (Imej: Media sosial)
Jumlah individu yang terkorban termasuk suspek bersenjata yang menembak dirinya sendiri, kata Timbalan Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Charin Gopatta kepada Reuters.
"Polis sedang menyiasat motif kejadian. Sejauh ini, ia adalah kejadian tembakan beramai-ramai," kata Worapat Sukthai, iaitu Timbalan Ketua Polis daerah Bang Sue di Bangkok, di mana berlaku serangan itu, kepada AFP.
Encik Sukthai berkata suspek menembak diri sendiri selepas melancarkan serangan tembakan itu.
Polis juga sedang berusaha mengenal pasti identitinya, serta menyiasat "jika terdapat kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan" dengan pertikaian sempadan yang tercetus antara Thailand dengan Kemboja.
Empat pengawal keselamatan di pasar Or Tor Kor, yang menjual hasil pertanian dan makanan tempatan, dibunuh oleh individu bersenjata itu, serta seorang wanita, menurut Pusat Perubatan Kecemasan Erawan yang memantau hospital-hospital di Bangkok.
Pasar itu yang terletak tidak jauh dari pasar Chatuchak, iaitu destinasi pelancongan popular di Bangkok dan dikunjungi ramai pengunjung pada setiap hujung minggu.
Kejadian tembakan beramai-ramai bukan perkara luar biasa di Thailand, di mana senjata api mudah diperolehi disebabkan penguatkuasaan kawalan senjata yang lemah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.