6 maut dalam kebakaran hutan, Turki isytihar bencana
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan sebahagian wilayah Turki selatan yang dilanda kebakaran hutan sebagai 'kawasan bencana'.
Kebakaran hutan di perkampungan Kacarlar berdekatan bandar pesisir pantai Mediterranean di Manavgat, Antalya, Turki. (gambar: AP)
TURKI: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan sebahagian wilayah Turki selatan yang dilanda kebakaran hutan sebagai 'kawasan bencana'.
Jumlah kematian akibat kebakaran yang berlaku di Marmaris, wilayah Mugla, Turki meningkat kepada enam orang selepas dua kakitangan perhutanan terbunuh.
"Kami akan terus mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memulihkan semula negara, mengimbangi kerugian dan meningkatkan peluang," katanya dalam hantaran di Twitter dan turut meninjau kawasan kebakaran melalui helikopter, semalam.
Presiden Erdogan mengesahkan kebakaran tersebut dimulakan oleh kanak-kanak selepas mengunjungi beberapa kawasan terjejas, pada Sabtu.
"Meskipun kebakaran di Marmaris ini telah dimulakan oleh kanak-kanak, siasatan terhadap kebakaran yang lain masih dijalankan.
"Ketika ini polis telah menahan seorang individu berkaitan kebakaran di Milas (sebuah daerah di wilayah Mugla)," katanya.
Sekurang-kurangnya lima maut di Manavgat dan seorang meninggal dunia di Marmaris.
Kedua-dua bandar itu terletak di Mediterranean dan menjadi destinasi pelancongan.
Kebakaran sejak Rabu lalu memusnahkan hutan sebelum merebak ke kampung dan destinasi pelancongan hingga memaksa penduduk berpindah.
Memetik laporan Al Jazeera, pada masa sama, Presiden Erdogan berkata, bencana itu tidak akan dipolitikkan, tetapi berkemungkinan terdapat sabotaj dan siasatan mengenai punca kebakaran sedang dijalankan.
Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca, berkata seramai 400 orang yang terjejas di Manavgat dibenarkan keluar hospital dan 10 lagi masih menerima rawatan.
Di Marmaris, 159 orang dirawat dan seorang masih menjalani rawatan kerana luka terbakar.
Kebakaran baru berlaku di wilayah Hatay selatan apabila api merebak ke kawasan penempatan tetapi berjaya dikawal.
Menteri Pertanian dan Perhutanan, Bekir Pakdemirli, berkata sebanyak 88 daripada 98 kebakaran yang berlaku akibat angin kencang dan panas terik berjaya dikawal.
Media Turki juga melaporkan tetamu hotel di beberapa kawasan di Bodrum di Aegean diarah berpindah dan pihak berkuasa meminta bot dan kapal layar peribadi untuk membantu usaha pemindahan melalui laut.
Encik Erdogan berkata, pemerintah akan memberi pampasan untuk keluarga yang kehilangan rumah atau tanah pertanian, selain cukai, jaminan sosial dan pembayaran kredit akan ditangguhkan dan perniagaan kecil akan ditawarkan kredit tanpa faedah.
"Kami tidak dapat melakukan apa-apa selain mengharapkan belas kasihan Tuhan untuk kehilangan nyawa tetapi kami akan menggantikan semua yang musnah terbakar," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.