Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

6 maut dalam kebakaran di hostel New Zealand

Satu kebakaran yang tercetus di sebuah hostel berbilang tingkat di Wellington, New Zealand, menyebabkan beberapa orang maut.

Anggaran Waktu Membaca:
WELLINGTON: Satu kebakaran yang tercetus di sebuah hostel berbilang tingkat di Wellington, New Zealand, menyebabkan beberapa orang maut.

Demikian menurut Khidmat Kecemasan dan Kebakaran New Zealand (FENZ) dalam satu kenyataan pada Selasa (16 Mei).

"Masih ada sejumlah lagi individu yang belum dikesan, tetapi jumlah ini beserta dengan jumlah kematian, tidak dapat disahkan pada ketika ini," menurut kenyataan tersebut tanpa memperincikan sebarang jumlah.

Perdana Menteri Chris Hipkins mendedahkan dalam rancangan siaran pagi AM, bahawa enam orang maut dan polis berkata mereka menjangkakan angka korban akibat kematian itu sebagai kurang daripada 10.

Kebakaran berlaku di tingkat teratas hostel Loafer Lodge yang mempunyai 92 bilik di Adelaide Road di Newtown, tidak lama selepas tengah malam pada Selasa.

FENZ menyatakan 52 orang sejauh ini masih belum dikesan.

"Ia adalah satu insiden tragik bagi mereka yang terlibat. Saya mengutuskan takziah sedalam-dalamnya kepada individu tersayang yang terkorban dalam kebakaran itu," kata Komander Pengurus Daerah, Nick Pyatt dalam kenyataan yang sama.

Menurutnya, kebakaran sedemikian jarang berlaku.

"Ia merupakan kebakaran yang berlaku sekali dalam sedekad di Wellington. Ia mimpi paling buruk bagi kami semua," katanya.

Para pekerja masih berada di tempat kejadian sehingga pagi Selasa untuk meneruskan dengan kerja-kerja pembersihan, namun terdapat risiko bumbung akan runtuh sedang mereka mencari jalan untuk menangani risiko ia berlaku, menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, para penduduk setempat dinasihatkan supaya jangan keluar rumah dan tutup tingkap masing-masing.

Salah satu daripada jalan utama di bandar itu juga ditutup dan trafik sudah dilencongkan.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan