Skip to main content

Dunia

6 maut dalam banjir di utara, barat Algeria

Sekurang-kurangnya enam orang maut dan puluhan lagi cedera selepas banjir melanda beberapa wilayah di utara dan barat Algeria pada Sabtu (2 Mei), menurut pihak berkuasa pertahanan awam, lapor Anadolu Ajansi.

Anggaran Waktu Membaca:
6 maut dalam banjir di utara, barat Algeria

Sekurang-kurangnya enam maut dalam banjir yang melanda beberapa wilayah Algeria pada 2 Mei 2026. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 03 May 2026 10:40AM
  • Sekurang-kurangnya enam orang maut dan puluhan cedera akibat banjir di utara dan barat Algeria, khususnya di wilayah M’sila dan Relizane.
  • Banjir berlaku pada 2 Mei selepas hujan lebat, ribut petir dan hujan batu melanda kawasan tersebut selama beberapa hari.
  • Pihak berkuasa pertahanan awam Algeria menjalankan operasi menyelamat, termasuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan mengurus lalu lintas yang terjejas.
  • Walaupun banjir menyebabkan kerosakan, hujan lebat dijangka meningkatkan hasil pertanian, terutama pengeluaran bijirin tahun ini.
Dijana oleh AI
ALGIERS: Sekurang-kurangnya enam orang maut dan puluhan lagi cedera selepas banjir melanda beberapa wilayah di utara dan barat Algeria pada Sabtu (2 Mei), menurut pihak berkuasa pertahanan awam, lapor Anadolu Ajansi.

Lima mangsa terkorban di wilayah M’sila selepas sebuah kenderaan dihanyutkan oleh air yang semakin naik di Oued Ain Sebaa dalam perbandaran Tamsa, kata Pasukan Pertahanan Awam Algeria, sambil menambah enam lagi dalam kenderaan yang sama diselamatkan.

Di wilayah Relizane barat, para penyelamat menemui mayat seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dihanyutkan banjir di Oued Cheliff di perbandaran Jdiouia.

Pasukan pertahanan awam turut menyelamatkan puluhan penduduk di beberapa wilayah selepas banjir menyebabkan mereka terperangkap dan jalan tidak boleh dilalui selain menjejas lalu lintas di beberapa laluan.

Banjir berlaku selepas cuaca buruk berhari-hari menimpa utara Algeria termasuk ribut petir, hujan lebat dan hujan batu besar, yang menyebabkan sungai melimpahi tebing dan kerosakan tanah ladang.

Selepas kemarau selama bertahun-tahun, taburan hujan yang meluas sejak hujung musim luruh itu menaikkan paras air di puluhan empangan dan menghidupkan semula banyak mata air yang sudah kering, selain menyuburkan tumbuhan.

Menurut pihak berkuasa Algeria, hujan dijangka meningkatkanhasil penuaian tahun ini terutamanya dalam pengeluaran bijirin.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita