Skip to main content

Dunia

6 maut, 30 cedera di Chicago susuli tembakan semasa perbarisan Hari Kemerdekaan AS

Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari sebuah bumbung semasa perbarisan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat di Chicago pada Isnin (4 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
6 maut, 30 cedera di Chicago susuli tembakan semasa perbarisan Hari Kemerdekaan AS

Tempat-tempat duduk yang dikosongkan selepas orang ramai melarikan diri semasa perbarisan di Highland Park pada 4 Jul 2022 di Chicago. (Gambar: Lynn Sweet/Chicago Sun-Times melalui AP)

HIGHLAND PARK, Illinois: Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari sebuah bumbung semasa perbarisan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat di Chicago pada Isnin (4 Jul), menyebabkan sekurang-kurangnya enam maut dan mencederakan sekitar 30 yang lain, menurut polis.

Suspek masih belum ditangkap beberapa jam selepas itu, sedang pihak berkuasa melancarkan pemburuan di kawasan tersebut.

Komander Polis Highland Park Chris O'Neill, yang juga komander insiden di tempat kejadian, menggesa orang ramai supaya mendapat perlindungan, sedang pihak berkuasa memburu suspek.

Beliau berkata pada tengah hari Isnin bahawa "usaha penangkapan yang sangat aktif" sedang dijalankan.

Insiden tembakan itu berlaku di kawasan laluan perbarisan di mana ramai penduduk cuba mendapatkan tempat terbaik untuk menyaksikannya sejak pagi lagi bagi sambutan tahunan itu.

Berpuluh-puluh peluru yang dilepaskan menyebabkan beratus-ratus orang melarikan diri, dengan sebilangan mereka berlumuran darah.

Jurucakap Pasukan Bertindak Jenayah Berat Lake County Christopher Covelli berkata semasa sidang media bahawa sebilangan mangsa maut di tempat kejadian dan seorang mangsa dibawa ke hospital dan meninggal dunia di sana.

Polis belum mendedahkan butiran mengenai mangsa mahupun mangsa yang cedera.

Koroner Lake County Jennifer Banek berkata lima orang yang maut di perbarisan itu adalah orang dewasa dan beliau tidak mempunyai maklumat mengenai mangsa keenam yang dibawa ke hospital dan maut di sana.

Pengarah Mexico bagi Ehwal Amerika Utara, Roberto Velasco menulis di Twitter pada Isnin untuk melaporkan seorang rakyat Mexico terbunuh di Highland Park sambil menambah bahawa dua rakyat Mexico yang lain cedera.

Pengarah perubatan bagi kesediaan kecemasan Pusat Kesihatan Universiti NorthShore, Dr Brigham Temple berkata Hospital Highland Park menerima 26 pesakit selepas serangan itu dan kesemuanya kecuali seorang mangsa, mengalami luka tembakan. Mereka berusia antara 8 hingga 85 tahun, dan beliau menganggarkan empat atau lima daripada pesakit itu adalah kanak-kanak.

Beliau berkata 19 daripada mereka dirawat dan dibenarkan keluar hospital. Mangsa lain dialihkan ke hospital-hospital lain, manakala dua pesakit, dalam keadaan stabil, terus berada di Hospital Highland Park.

Penembak itu melepaskan tembakan sekitar 10.15 pagi semasa tiga suku perbarisan itu sudahpun dijalankan.
Sumber : AP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita