Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

6,000 doh roti prata guna logo halal tidak sah, dirampas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 6,000 biji doh roti canai dan 360 biji doh capati kerana menggunakan logo halal tidak sah dalam satu serbuan, yang dijalankan di sebuah syarikat di Setia Alam pada Isnin lalu (15 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
6,000 doh roti prata guna logo halal tidak sah, dirampas

6,000 biji doh roti canai dan 360 biji doh capati dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 12:12AM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 12:15AM

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 6,000 biji doh roti canai dan 360 biji doh capati kerana menggunakan logo halal tidak sah dalam satu serbuan, yang dijalankan di sebuah syarikat di Setia Alam pada Isnin lalu (15 Okt).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam, berkata serbuan yang dilancarkan pada 10.00 pagi itu dilakukan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan ia adalah hasil aduan orang awam ke atas syarikat berkenaan yang sudah beroperasi sejak sembilan bulan lalu.

“Ketika serbuan, sebanyak lapan pekerja asing didapati sedang membuat doh roti dan pemeriksaan menemui doh-doh roti canai tersebut yang dimuatkan dalam 60 kotak manakala doh-doh capati dibungkus dalam 12 kotak. Kesemuanya dianggarkan bernilai RM3,063 (S$1,010).

“Siasatan awal mendapati pemilik syarikat itu sengaja mempamerkan logo halal pada kotak pembungkusan sedangkan mereka tidak pernah memohon sijil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” kata Encik Azman kepada para wartawan dalam satu sidang media hari ini (17 Okt).

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut turut menemui sekitar 1,770 kotak kosong tertera logo halal JAKIM disimpan di dalam premis tersebut, yang dipercayai untuk membungkus doh roti canai dan capati bagi edaran pasaran di sekitar Selangor.

Encik Azman berkata, seorang lelaki tempatan berusia 30-an tahun yang dipercayai ialah pemilik syarikat itu sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Difahamkan, doh roti canai itu dijual pada harga RM20 (S$6.60) sekotak yang mengandungi 100 biji, manakala RM10 (S$3.30) bagi setiap kotak capati mengandungi 30 biji doh.

Encik Azman berkata kesemua barangan itu dirampas mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan 2011 (Perakuan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata pihaknya mengesan sebanyak 16 syarikat melakukan kesalahan penggunaan logo halal tidak sah di negeri itu sejak tahun 2015.

“Lazimnya, selepas menerima aduan dan maklumat awam, kita akan memeriksa status logo digunakan syarikat itu sama ada dimohon daripada JAKIM atau sebaliknya,” kata beliau yang turut memaklumkan JAIS akan terus bekerjasama dengan KPDNHEP bagi memastikan perkara itu dipatuhi peniaga. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan