Skip to main content

Dunia

572 calon bertanding PRN M'sia, 12 peratus wanita, kata Pengerusi SPR

Anggaran Waktu Membaca:
572 calon bertanding PRN M'sia, 12 peratus wanita, kata Pengerusi SPR

(Gambar hiasan: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Jul 2023 04:05PM Dikemas Kini : 29 Jul 2023 04:13PM
PUTRAJAYA: Kempen Pilihan Raya bagi enam negeri di Malaysia bermula selepas seluruh proses penamaan calonnya pada pagi Sabtu (29 Jul) berakhir.

Seramai 572 calon mewakili pelbagai parti dan individu, layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu kali ini.

Laporan Astro AWANI menukil Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh sebagai berkata daripada 573 kertas penamaan yang diterima melalui 173 Pusat Penamaan Calon (PPC), satu kertas penamaan telah ditolak melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) N09 Kota Lama Kelantan.

Katanya, jumlah calon Perikatan Nasional (PN) ialah seramai 168 orang; Pakatan Harapan (PH) (138); Barisan Nasional (BN) (108): Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (19); Parti Rakyat Malaysia (PRM) (13); Parti Sosialis Malaysia (PSM) (empat); Penang Front Party (PFP) (dua); Parti Utama Rakyat (satu) dan Bebas (41).

Beliau berkata, pertembungan satu lawan satu berlaku di 181 kawasan, tiga penjuru (51), empat penjuru (13) dan lima penjuru (satu).

"Bilangan calon mengikut jantina adalah lelaki 501 orang dan wanita 71. Manakala, umur calon tertua adalah di N36 Pantai Jerejak, Pulau Pinang, iaitu 80 tahun. Calon paling muda adalah di N19 Bukit Antarabangsa, Selangor, 23 tahun," katanya semasa sidang media pada Sabtu.

Antara kerusi tumpuan ialah DUN N16 Sungai Tua menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon PH yang juga Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berdepan calon PN, Muhammad Hanif Jamaluddin dan calon bebas G. Suman.

Selain itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mempertahankan kerusi DUN Sikamat pada PRN 12 Ogos ini.

Beliau bakal berdepan saingan empat penjuru menentang calon PN, Ahmad Raihan Muhamad Hilal serta dua calon Bebas, Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.
Sumber : Agensi berita/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita