Skip to main content

Dunia

55,000 kesalahan pemilik benarkan pemandu tanpa lesen pandu kenderaan di M'sia

Sebanyak 55,000 kesalahan melibatkan pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu tanpa lesen untuk memandu kenderaan mereka dicatatkan di seluruh Malaysia dari Januari hingga Mei tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
CHUKAI: Sebanyak 55,000 kesalahan melibatkan pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu tanpa lesen untuk memandu kenderaan mereka dicatatkan di seluruh Malaysia dari Januari hingga Mei tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedly Fadly Ramli berkata pihaknya kesal dengan sikap ambil mudah sesetengah masyarakat yang berterusan melakukan kesalahan tersebut tanpa memikirkan risiko serta bahaya terhadap pengguna jalan raya lain.

"Menurut pemerhatian dan analisis terkini JPJ, tiada perubahan sikap dan tanggungjawab yang ketara dalam kalangan pemilik kenderaan tentang perkara itu dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

“Ia boleh dilihat dengan jelas apabila direkodkan 347,300 pemilik kenderaaan didapati membenarkan individu tiada lesen membawa kenderaan mereka dari Januari 2019 hingga Mei tahun ini,” dedahnya selepas meninjau Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kijal pada Jumaat malam (24 Jun).

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Henry Sum dan Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

Encik Aedly Fadly berkata kebanyakan kesalahan melibatkan ahli keluarga terutama ibu bapa yang membenarkan anak-anak, termasuk yang bawah umur, memandu tanpa lesen dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

Justeru, pihaknya mengingatkan orang awam supaya memandang serius terhadap perkara berkenaan kerana pemilik yang ingkar boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 (S$95) dan maksimum RM3,000 (S$950) atau dipenjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali. 

"Selain itu JPJ juga boleh mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik kenderaan melalui tindakan penyitaan mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Encik Zulkarnain berkata sebanyak 580 kenderaan diperiksa dalam operasi yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 133 kenderaan diberi notis atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita