Skip to main content

Dunia

55 cedera dalam letupan masjid di sekolah Jakarta; suspek remaja dikenal pasti

Berpuluh-puluh orang cedera dan dibawa ke hospital menyusuli satu letupan yang menggegarkan sebuah masjid di dalam sebuah kompleks sekolah di ibu kota Jakarta, Indonesia pada Jumaat (7 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
55 cedera dalam letupan masjid di sekolah Jakarta; suspek remaja dikenal pasti
Anggota polis bersenjata dan tentera berkawal berikutan satu letupan yang berlaku di sebuah kompleks sekolah di Jakarta, Indonesia, pada 7 November 2025. (Gambar: REUTERS/Willy Kurniawan)
Diterbitkan : 07 Nov 2025 04:38PM Dikemas Kini : 07 Nov 2025 07:49PM

JAKARTA: Berpuluh-puluh orang cedera dan dibawa ke hospital menyusuli satu letupan yang menggegarkan sebuah masjid di dalam sebuah kompleks sekolah di ibu kota Jakarta, Indonesia pada Jumaat (7 Nov).

Kejadian itu berlaku semasa solat Jumaat.

Suspek berusia sekitar 17 tahun yang dipercayai dalang letupan itu kini sedang menjalani pembedahan, kata Wakil Ketua Dewan Perwakilan Rakyat, Sufmi Dasco Ahmad, kepada wartawan selepas melawat hospital yang merawat para mangsa.

Polis sedang menyiasat punca letupan di lokasi kejadian di Kelapa Gading, Jakarta Utara, kata ketua polis bandar Jakarta, Asep Edi Suheri, dalam satu sidang media yang disiarkan melalui televisyen.

Seramai 55 orang dibawa ke hospital, katanya, sambil menambah para mangsa mengalami pelbagai kecederaan daripada tahap ringan hingga serius, termasuk kesan lecur.

Encik Asep berkata pihak berkuasa turut menubuhkan pos-pos bantuan di dua hospital bagi membantu ahli keluarga mencari mangsa yang cedera.

Laman berita tempatan, Antara, melaporkan bahawa Detasemen Khusus 88 Anti Teror, yang dikenali sebagai Densus 88, sedang menyiasat sama ada terdapat unsur pengganasan dalam letupan tersebut.

Para saksi memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa mereka mendengar sekurang-kurangnya dua letupan yang kuat pada kira-kira waktu tengah hari, ketika khutbah solat Jumaat baru sahaja dimulakan di masjid di SMA 27, iaitu sebuah sekolah menengah yang terletak dalam kompleks perumahan Tentera Laut.

Para pelajar dan orang awam dilaporkan berlari keluar dalam keadaan panik sementara asap kelabu memenuhi ruang masjid.

Sebelum ini, Dinas Penanggulangan Kebakaran dan Penyelamatan Jakarta memaklumkan letupan itu berpunca daripada pembesar suara di sekolah tersebut.

Encik Asep berkata skuad pemusnah bom yang dikerahkan ke lokasi kejadian menemui beberapa senapang mainan dan sepucuk pistol mainan berhampiran masjid.

“Polis masih menyiasat tempat kejadian untuk menentukan punca letupan,” kata Encik Asep sambil menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi bahawa kejadian itu merupakan satu serangan sebelum siasatan polis selesai dijalankan.

“Biar pihak berkuasa jalankan tugas dahulu,” kata Encik Asep. “Kami akan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai sebaik ia diperoleh.”

Dante, seorang pelajar yang hadir untuk menunaikan solat di masjid berkenaan, memberitahu wadah berita Kumparan bahawa letupan itu menyebabkan paku berterbangan dan mencederakan lima orang rakannya.

“(Dua daripadanya) terkena pada bahagian tangan dan kakim” katanya, sambil menambah pada awalnya beliau menyangka letupan itu berpunca daripada sistem pembesar suara masjid.

Antara melaporkan bahawa pihak berkuasa dimaklumkan mengenai letupan itu pada pukul 12.10 tengah hari waktu tempatan, dan dua jentera bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran.

Saluran berita KompasTV dan MetroTV menyiarkan rakaman kawasan sekolah yang dipagar garisan polis dengan beberapa ambulans bersiap sedia berhampiran.

Gambar-gambar masjid berkenaan menunjukkan tiada kerosakan besar pada bangunan tersebut.

Menurut CNN Indonesia, Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Lodewijk Freidrich Paulus berkata gambar yang memaparkan senjata yang tersebar di media sosial "hanyalah satu mainan”.

“Terdapat gambar senjata itu, tetapi setelah kami periksa, ia hanyalah pistol mainan, bukan pistol sebenar,” katanya seperti yang dipetik media tersebut, sambil menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat kejadian berkenaan.

Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita