545 ahli Amanah keluar parti serta-merta; sertai Bersatu
Seramai 545 ahli Amanah Kota Raja pada Jumaat (4 Sep) umum keluar parti berkuat kuasa serta-merta dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menyatakan tertarik dengan kepimpinan Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari (kanan) menerima 545 borang keahlian menyertai Bersatu daripada bekas Naib Pengerusi 3 Amanah Kota Raja, Jaafar Samsuddin. (Gambar: BERNAMA)
SHAH ALAM: Seramai 545 ahli Amanah Kota Raja pada Jumaat (4 Sep) umum keluar parti berkuat kuasa serta-merta dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menyatakan tertarik dengan kepimpinan Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin.
Borang keahlian itu diserahkan wakil kumpulan berkenaan, yang juga bekas Naib Pengerusi 3 Amanah Kota Raja, Jaafar Samsuddin, kepada Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari.
Menurut Jaafar, antara faktor membuatkan mereka tertarik menyertai Bersatu adalah sifat kesederhanaan dan kepimpinan yang ditonjolkan Muhyiddin selain keupayaannya menjaga kebajikan rakyat tatkala penularan pandemik COVID-19 ketika ini.
“Kita lihat, (kepimpinan) Amanah tidak memainkan peranan penting dalam membela rakyat, aspek penjagaan kawasan dan keprihatinan kepada ahli. Ahli parti rasa tidak terbela walaupun sekian lama bekerja untuk parti.
“Disebabkan itu, kami memilih untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional yang wadah perjuangannya untuk membangun serta membela rakyat. Sebagai anak jati Kota Raja, diharapkan parti ini dapat membawa perubahan di kawasan kami,” kata Jaafar yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Amanah Negeri Selangor.
Dalam pada itu, Abdul Rashid menafikan dakwaan kira-kira 3,000 ahli Bersatu Selangor keluar parti kerana pihaknya hanya mengesan 122 ahli sahaja yang meninggalkan parti berkenaan setakat ini.
Beliau menambah jumlah ahli yang keluar parti itu turut melibatkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) daripada Bersatu bagi kawasan Kuang, Jeram dan Batang Kali untuk menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Abdul Rashid, jumlah ahli Bersatu di Selangor setakat ini sudah melebihi 50,000 orang dengan 5,000 daripadanya terdiri daripada kalangan bukan Melayu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.