Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

522 projek tangani banjir dilaksanakan di Melaka

Anggaran Waktu Membaca:

MELAKA: Sebanyak 522 projek mitigasi banjir melibatkan peruntukan berjumlah RM69.77 juta (S$21.4 juta) sudah dilaksanakan di Melaka, bagi menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh jangka masa pendek khususnya di 124 kawasan mudah banjir di negeri itu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Rahmad Mariman berkata daripada jumlah itu, sebanyak 190 projek mitigasi banjir dilaksanakan di daerah Melaka Tengah membabitkan peruntukan berjumlah RM38.15 juta (S$11.7 juta), manakala di Jasin sebanyak 157 projek melibatkan peruntukan RM15.54 juta (S$4.8 juta), sementara 175 projek di Alor Gajah dilaksanakan bernilai RM16.08 juta (S$4.09 juta). 

“Peruntukan bagi melaksanakan kesemua projek mitigasi banjir di ketiga-tiga daerah ini telah disalurkan pelbagai pejabat daerah dan tanah di daerah terlibat, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kesemua projek mitigasi berkenaan melibatkan projek kecil yang dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan isu banjir dalam tempoh jangka masa pendek,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Selasa (13 Dis). 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) yang ingin tahu jumlah projek dan peruntukan yang disalurkan bagi mengatasi banjir di negeri itu.

Encik Rahmad berkata sebanyak 45 lokasi ‘hotspot’ baru sudahpun dikenal pasti di ketiga-tiga daerah di negeri itu dan usaha mengatasi banjir di kawasan berkenaan akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Sementara itu, beliau berkata sebagai langkah jangka panjang mengatasi banjir, salah satu projek yang akan dilaksanakan ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Melaka Fasa Satu bernilai RM40 juta (S$12.3 juta) dan projek berkenaan kini di peringkat reka bentuk, sebelum pembinaannya dilancarkan tender pada Mei tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Encik Rahmad berkata kerajaan Melaka menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.4 juta (S$428,783) melibatkan 5,769 mangsa bencana termasuk banjir dalam tempoh 1 Januari hingga Isnin (12 Dis). 

Beliau berkata kadar sumbangan bantuan kepada mangsa bencana di negeri itu juga dinaikkan dalam usaha meringankan beban mereka yang terjejas dan kehilangan harta benda.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan