Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

515 individu ditahan langgar PKPP M'sia

Polis Diraja Malaysia menahan 515 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Ahad (23 Ogos) dan daripada jumlah itu 440 individu didenda, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Anggaran Waktu Membaca:
515 individu ditahan langgar PKPP M'sia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Aug 2020 06:51PM Dikemas Kini : 24 Aug 2020 06:52PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menahan 515 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Ahad (23 Ogos) dan daripada jumlah itu 440 individu didenda, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 69 individu direman dan enam individu diberi ikat jamin dalam operasi menerusi Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan itu.

Katanya lagi, antara kesalahan tertinggi dilaporkan adalah aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal iaitu 252 individu dan aktiviti di dalam kelab malam (205 individu).

"Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (18), tidak memakai pelitup muka (17), gagal mematuhi arahan kuarantin (dua), premis beroperasi lebih masa (10), premis tanpa lesen (dua), aktiviti perjudian (tujuh) dan gagal lunaskan bayaran kompaun (dua)," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP hari ini (24 Ogos).

Dalam pada itu, Encik Ismail Sabri memaklumkan seramai 15,980 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lalu.

Katanya, mereka ditempatkan di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, 7,466 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 55 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 8,459 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Encik Ismail Sabri berkata PDRM turut mengadakan 434 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

PDRM turut mengambil tindakan terhadap seorang individu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di kediaman yang ditetapkan, katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan