Skip to main content

Dunia

50 terbunuh dalam serangan semalaman Israel: Penyelamat Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
50 terbunuh dalam serangan semalaman Israel: Penyelamat Gaza

Penduduk mencari barang yang boleh diselamatkan dari runtuhan bangunan berikutan serangan Israel di utara Carikan Gaza pada 15 Mei 2025. (Gambar: BASHAR TALEB / AFP)

Diterbitkan : 16 May 2025 05:39PM Dikemas Kini : 16 May 2025 05:41PM
BANDAR GAZA: Agensi pertahanan awam Gaza berkata pada Jumaat (16 Mei) bahawa 50 orang terbunuh dalam serangan semalaman Israel ke atas wilayah Palestin.

"Jumlah mangsa yang terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan rumah awam di utara Carikan Gaza antara tengah malam dan awal pagi ini telah meningkat kepada 50 orang... Pasukan kami masih menjalankan tugas di kawasan-kawasan tersebut," kata pegawai pertahanan awam Mohammed al-Mughayyir kepada AFP.

Seorang doktor di Hospital Indonesia di bandar utara Beit Lahia, yang meminta namanya tidak didedahkan, memberitahu AFP bahawa 30 mayat dan puluhan mangsa yang cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, telah tiba di hospital tersebut.

Mohammed Saleh, pemangku pengarah Hospital Al-Awda di Jabalia, memberitahu AFP bahawa hospital tersebut telah menerima lima mayat dan "lebih daripada 75 orang yang cedera" akibat pengeboman tersebut.

"Tentera Israel telah mengebom rumah bersebelahan dengan saya, menyerangnya secara langsung ketika penduduknya berada di dalam," kata Yousef Al-Sultan, 40 tahun, dari kawasan al-Salatin, barat Beit Lahia, kepada AFP, yang turut melaporkan "serangan udara, tembakan meriam dan tembakan dari dron quadcopter."

"Sebahagian besar penduduk terpaksa berpindah. Kami dicengkam rasa takut dan cemas di tengah malam," katanya.
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita