Skip to main content

Dunia

5 warga asing termasuk warga M'sia diberkas di Bali kerana edar dadah

Lima warga asing diberkas di Bali, Indonesia kerana mengedar dadah, dengan seorang rakyat Jerman dan Peru kemungkinan dijatuhi hukuman mati jika disabit kesalahan di bawah undang-undang dadah Indonesia. Demikian menurut pihak berkuasa hari ini (13 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
5 warga asing termasuk warga M'sia diberkas di Bali kerana edar dadah

Jorge Rafael Albornoz Gammara dari Peru (kiri) dan Frank Zeidler dari Jerman (kanan) diberkas kerana disyaki mengedar dadah. (Gambar: Sonny Tumbelaka/AFP)

Diterbitkan : 13 Dec 2018 09:42PM Dikemas Kini : 13 Dec 2018 09:45PM

DENPASAR: Lima warga asing diberkas di Bali, Indonesia kerana mengedar dadah, dengan seorang rakyat Jerman dan Peru kemungkinan dijatuhi hukuman mati jika disabit kesalahan di bawah undang-undang dadah Indonesia. Demikian menurut pihak berkuasa hari ini (13 Dis).

Kesemua pengedar dadah - termasuk seorang warga China, seorang warga Malaysia dan seorang warga Britain - diberkas secara berasingan sepanjang dua minggu lalu, menurut polis Bali.

Pada Sabtu (8 Dis), Cui Bao Lin, seorang warga China berusia 29 tahun, ditangkap di lapangan terbang selepas lebih 200 pil ekstasi dan lebih 160 gram ketamine ditemui di dalam begnya, menurut polis.

Hamdi Izham Hakimi, seorang warga Malaysia, juga diberkas pada hari yang sama setelah hampir 15 gram ganja dan 11 pil ekstasi ditemui di dalam begnya, menurut pihak berkuasa.

Penangkapan itu dilakukan kurang sebulan selepas anggota pertama kumpulan pengedar dadah heroin Bali Nine dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 13 tahun di pulau peranginan itu.

Ketua kumpulan Australia itu - Myuran Sukumaran dan Andrew Chan - menjalani hukuman mati di hadapan skuad penembak pada 2015, sekaligus mencetuskan pertikaian diplomatik antara Australia dengan Indonesia. Indonesia adalah salah sebuah negara yang mempunyai undang-undang dadah yang ketat.

Polis Bali menyatakan hari ini (13 Dis) bahawa pihaknya sudah memberkas Jorge Rafael Albornoz Gammara, seorang warga Peru yang berusia 44 tahun, selepas dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dari Dubai pada minggu lalu.

"Para pegawai menjumpai 4.08 kilogram dadah kokain yang disembunyikan di dalam bahagian dalam bagasinya," kata Ketua Pejabat Imigresen Tempatan, Untung Basuki, semasa satu sidang media hari ini (13 Dis).

Sementara itu, seorang pereka warga Britain berusia 45 tahun, yang identitinya tidak dikenal pasti, ditahan selepas dia menerima sebuah bungkusan dari Thailand yang mengandungi sekitar 31 gram ganja dalam bentuk cecair yang dimasukkan ke dalam botol-botol minyak pati.

Warga asing sering ditangkap cuba membawa masuk dadah ke Bali - sebuah pulau peranginan yang memikat berjuta-juta pelancong setiap tahun. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita